3 Jenis Asas Sistem Hidroponik Yang Digunakan Dalam Akuaponik Serta Variasinya

Jumaat, 24 Mei 2019, 6:02 pm0

Terdapat 3 kaedah penanaman yang umum digunakan dalam hidroponik dan aquaponics iaitu batas media (media bed), rakit (floating raft) dan lapisan nutrien (NFT atau nutrient film technique)

Batas media (media bed)

Kaedah batas media memerlukan media tanaman untuk memegang akar tanaman. Antara contoh media yang sering digunakan adalah batu sungai (gravel) dan hydroton (batuan tanah liat dibakar / clay pebble). Media² ini dipilih kerana pH neutral, mempunyai pengudaraan yang baik, dan kurang atau tidak mengandungi nutrien, kerana semua nutrien telah diperoleh daripada air.

Konfigurasi untuk batas media pula ada dua iaitu paras air tetap (constant flood) dan pasang surut (flood and drain atau juga dikenali sebagai ebb and flow). Untuk paras air kekal, media diisi dalam batas dalam satu kedalaman tertentu, selalunya 1’, saliran air yang masuk ke batas akan ditumpukan khusus ke akar tanaman, dan air akan turun menuju paip keluar di bawah batas. Air tidak akan bertakung dalam untuk konfigurasi ini.

Untuk konfigurasi pasang surut pula, batas tersebut sama juga diisi media hingga kedalaman kira² 1’, kemudian air masuk dari satu paip, bertakung dalam batas sehingga kedalaman 7-8” sebelum kesemua air dilepaskan semula ke tangki takungan. Komponen yang mengawal kedalaman air dan melepaskan air keluar dari batas ialah bell siphon.

Bell siphon ialah satu komponen perpaipan, yang mana ia bergantung kepada kadar aliran masuk air ke dalam satu² bekas dan juga ketinggian paip tegak, yang akan mencetuskan sifon dan seterusnya menyedut air keluar daripada bekas secara automatik.

Rakit (floating raft)

Kaedah rakit / sistem raft secara asasnya merujuk kepada kaedah menanam tanaman pada sekeping bahan yang terapung di atas larutan nutrien. Namun secara definisi, ia merujuk kepada cara menanam tanaman yang mana akarnya terendam di dalam air keseluruhannya. Antara nama lainnya ialah DWC (deep water culture) atau pengkulturan air dalam. Terdapat juga cara menanam di dalam air yang cetek, yang dikenali sebagai SWC (shallow water culture).

Bahan terapung yang selalunya digunakan adalah polistirena XPS (extruded polystyrene) setebal 1” ke 2”. Polisterina jenis ini adalah jenis padat yang tidak mudah berkecai, dan sering digunakan dalam penebatan dinding bangunan. Ia berlainan dengan polisterina EPS (expanded polystyrene) yang juga dikenali sebagai sytrofoam yang mudah didapati di kedai² alat tulis, yang mana cepat berkecai jika sering terdedah kepada cahaya matahari.

Lapisan nutrien (NFT)

Untuk sistem aquaponics yang akan saya buat kali ini, saya memilih kaedah NFT (nutrient film technique). Kaedah ini menggunakan saluran paip (channel) yang lazimnya diperbuat daripada paip UPVC 4” berbentuk segi 4 atau pun silinder, untuk menanam tanaman, di mana larutan nutrien disalirkan di dalam paip dalam kuantiti yang sedikit, membentuk satu lapisan nipis air (water film) yang mengalir perlahan di dalam saluran paip. Akar tumbuhan hanya menyentuh sedikit lapisan air, dan tidak tenggelam sepenuhnya. Sebahagian akar tumbuhan adalah terdedah untuk membolehkan pengudaraan dan penyerapan oksigen oleh akar.

Artikel berkenaan cara² saya membina sistem NFT ini ada di sini.

Variasi lain

Kaedah menara menegak (vertical tower)

Credit: ZipGrow

Sistem menegak ini tidak lain hanyalah kaedah lapisan nutrien (NFT) yang ditegakkan, berbanding cara biasa iaitu mendatar. Kelebihan menggunakan cara ini ialah penggunaan kawasan yang lebih efisien – lebih banyak tanaman dapat ditanam per kaki/meter persegi.

Aeroponic

Credit: AeroFarms

Kaedah alternatif ini sebenarnya hanyalah variasi kepada 3 kaedah asas yang diterangkan di atas. Aeroponic merupakan variasi kepada NFT, yang mana akar tidak menyentuh lapisan nipis air, tapi akarnya disembur dengan larutan nutrien.

Kelebihan kaedah aeroponics ini adalah akar tumbuhan yang lebih terdedah kepada udara membolehkan penyerapan oksigen yang lebih baik, seterusnya membolehkan tumbuhan tumbuh dengan lebih efektif. Namun peralatan yang digunakan adalah lebih mahal berbanding NFT.

Dutch bucket

Credit: FarmTek

Dutch bucket pula sama seperti batas media, cuma ia tidak menggunakan batas, tetapi menggunakan baldi atau pasu. Ia juga menggunakan konfigurasi paras air tetap (constant flow). Selalunya dutch bucket digunakan untuk tumbuhan berakar besar & tumbuh lama seperti tomato, cili, bendi dan sebagainya.

Terdapat juga dutch bucket yang menggunakan kaedah DWC, yang mana tumbuhan disokong oleh media, tetapi akarnya terendam penuh ke dalam larutan nutrien di dalam baldi. Pam angin digunakan untuk membekalkan oksigen ke akar tumbuhan untuk mengelakkan akar jadi buruk. Kebanyakan penanaman ganja dalam bangunan (indoor) menggunakan kaedah ini.

Gutter growbed

Kaedah gutter growbed (batas palung) ini diperkenalkan oleh seorang pengusaha aquaponics Malaysia iaitu Affnan Aquaponics. Kaedah ini sebenarnya adalah variasi kepada batas media, di mana media diletakkan di dalam pasu berlubang, pasu² tersebut diletakkan pula di dalam palung atap (gutter) dan menggunakan konfigurasi pasang surut (flood and drain) dengan adanya bell siphon pada hujung palung. Affnan Aquaponics juga terkenal dengan rekaan bell siphonnya sendiri iaitu Affnan siphon.

Variasi lain yang menggunakan palung air hujan (rain gutter) ini adalah seperti rain gutter grow system. Ia adalah seakan sistem dutch bucket tetapi paip keluarnya di sambung dengan menggunakan palung.

Kesimpulan

Terdapat pelbagai lagi variasi kaedah aquaponics yang digunakan jika dicari di sekitar internet, namun kesemuanya berasal daripada tiga kaedah asas yang diperincikan di atas. Terpulang kepada anda sendiri untuk memilih kaedah yang sesuai dengan tempat, tanaman, kewangan dan kemahiran yang anda miliki. Bagi saya, saya memilih NFT kerana mudah bagi saya mengendalikan paip dan sambungannya untuk mengelakkan kebocoran seperti yang saya alami semasa membina sistem rakit DWC (floating raft) tahun lalu.

Ikuti Instagram dan Facebook saya untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan aquaponics dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: