Kepincangan dalam menggunakan paip PVC sebagai saluran NFT hidroponik

Jumaat, 25 Oktober 2019, 5:30 pm587

Saya menggunakan paip PVC berdiameter 4 inci sebagai saliran NFT untuk set hidroponik ini. Masalah utama yang saya hadapi ialah ukuran diameter tersebut.

① – Pada mulanya saya mahu gunakan hanya span untuk memegang tanaman pada saliran NFT ini. Dalam gambar di atas, pada 6 lubang NFT terakhir, begitulah seakan rupanya span tersebut diletakkan pada lubang² tersebut, walaupun di sini saya telah meletakkan span² itu di dalam net pot.

Oleh kerana diameter paip PVC ialah 4 inci, maka akar tanaman mestilah lebih panjang untuk menyentuh larutan nutrien yang mengalir di dasar paip. Kebanyakan anak benih yang disemai tidak mempunyai akar sepanjang itu.

② – Dengan itu saya bertukar menggunakan net pot, supaya anak benih dapat didekatkan dengan aliran air di dalam paip NFT. Akan tetapi diameter net pot yang sedia ada adalah 1½” (net pot sebelah kiri dalam gambar), manakala saiz lubang pada NFT ialah 2”.

Terpaksalah beli net pot yang baru (net pot sebelah kanan dalam gambar), dengan diameter lubang dan juga ketinggian 2”. Dengan adanya tambahan 2” kedalaman, panjang akar tanaman hanya perlu lebih daripada 2” untuk menyentuh larutan nutrien dalam paip NFT.

③ – Begini rupa akar pokok sawi yang telah dipindahkan mula² sekali, kira² 3 minggu selepas dipindah. Akarnya cukup panjang untuk menyentuh air yang mengalir. Kita dapat mengetahui kesihatan pokok dan potensi pertumbuhannya berdasarkan keadaan akar pokok.

Pokok yang berada dalam net pot kedua terdekat, akarnya agak kecil dan berwarna gelap, mungkin ditumbuhi lumut. Ini akan mengganggu pertumbuhan (tanaman nampak kecil daripada yang lain) dan menyebabkan kekurangan nutrien (daun berwarna kuning atau klorosis).

Akar tanaman yang berada di net pot di belakang, agak sukar dilihat tapi ia tidak berwarna gelap seperti yang depan tadi. Tanaman ini akan tumbuh dengan normal dan sihat.

④ – Salah satu kepincangan pada rekaan (design flaw) yang berlaku pada NFT ini ialah kecerunan paip yang menyebabkan air mengalir agak laju turun ke hujung paip untuk keluar. Di sini dapat dilihat kecerunan paip tersebut berdasarkan permukaan air.

Tahap kecerunan paip sebegini telah menyebabkan dua masalah iaitu:

  1. Air mengalir terlalu laju untuk akar tumbuhan menyerap nutrien yang diperlukan
  2. Kedalaman air terlalu cetek sehingga tumbuhan terpaksa diletakkan di dalam paip supaya akarnya menyentuh air. Ini menyukarkan untuk memasang pemegang tumbuhan seperti span yang saya gunakan. Jika tumbuhan tidak dipegang, kemungkinan ia akan jatuh ke dalam paip dan hanyut ke hujung paip NFT.

Namun begitu, kecerunan paip ini memang diperlukan kerana:

  1. Air yang mengalir sukar untuk dihinggap oleh nyamuk untuknya bertelur di dalam air itu dan seterusnya membiak
  2. Akar tumbuhan yang berendam dalam air yang bertakung dalam mudah mengumpul kotoran atau ditumbuhi lumut

Untuk mengatasi masalah air mengalir terlalu laju, saya akan mengurangkan kecerunan paip NFT ini untuk binaan set yang akan datang, atau pun untuk set yang ada sekarang, dengan mengawal bukaan injap paip supaya dapat mengurangkan kuantiti air yang masuk seterusnya memperlahankan aliran air.

⑤ – Anak benih sawi baru yang mahu dipindahkan ke dalam NFT. Begini rupanya apabila diletakkan di dalam net pot. Umur anak benih ini kira² 2 ke 3 minggu, dan akarnya telah cukup panjang untuk dipindahkan.

Selepas lebih kurang seminggu di dalam NFT, dan apabila akar tanaman bertambah panjang, saya akan pasangkan tanaman pada span di dalam net pot untuk tetapkan lagi kedudukannya di atas paip NFT.

⑥ – Untuk kumpulan benih baru ini, saya letakkan di dalam saliran NFT yang baru. Dapat diperhatikan paip ini masih bersih kurang lumut. Di sini juga dapat dilihat akar anak pokok semuanya menyentuh sedikit pada aliran air.

Satu lagi kepincangan menggunakan paip PVC putih di sini ialah paip ini membenarkan cahaya matahari menembusinya, sehingga menyebabkan pertumbuhan lumut. Seperti yang saya tekankan sebelum ini, lumut dalam sistem hidroponik akan mencuri nutrien dalam air untuk kegunaannya sendiri dan tanaman kita akan mengalami kekurangan nutrien jika pertumbuhan lumut tidak terkawal.

Pertumbuhan lumut pada akar tanaman pula menyebabkan kesukaran tanaman untuk menyerap nutrien dan oksigen, yang seterusnya menyebabkan pertumbuhan terbantut ataupun kekurangan nutrien.

Lumut juga boleh menyebabkan paip NFT tersumbat dengan jisim lumut itu sendiri, lebih² lagi di paip² yang mempunyai diameter yang kecil.

Untuk mengatasi masalah ini, saya akan mengecat paip ini dengan cat warna legap (sukar ditembusi cahaya), tetapi bukan warna hitam. Kalau hitam ia akan menyerap haba dan dalaman paip akan menjadi panas.

⑦ – Kedalaman air di hujung NFT ini agak dalam, jadi saya letakkan anak benih sawi yang akarnya agak pendek di sini. Dapat dilihat daun anak benih ini berada jauh di dalam net pot, agak risau kalau pertumbuhan daun ini akan terhalang.

Untuk set hidroponik akan datang, saya mungkin akan merekanya supaya paip NFT dapat menakung air sehingga separuh daripada diameter paip NFT, ataupun sehingga mencecah bawah net pot. Kedua² hujung NFT akan menggunakan penutup (end cap) sepenuhnya, bukan seperti yang ini, penutupnya telah dibelah dua.

Ini supaya akar tanaman yang baru dipindah akan tenggelam dalam air dan mengurangkan risiko anak benih yang baru dipindah daripada mati.

Ataupun saya akan menggunakan mekanisme tersendiri untuk mengawal kedalaman air kerana air dalam paip NFT tidak perlu untuk bertakung dalam sepanjang masa. Ia hanya memerlukan selapis aliran larutan nutrien yang membasahi akar² tumbuhan. Nama pun dah NFT (nutrient film technique atau teknik lapisan nutrien).

⑧ – Kepincangan terakhir ialah lubang tanaman yang pertama adalah terlalu dekat dengan paip masuk, sehingga air menyiram ke net pot. Keadaan ini menyebabkan span kekal basah dan anak benih yang diletakkan dalam net pot sentiasa juga basah.

Keadaan tumbuhan yang selalu basah juga tidak bagus untuk tanaman, sebab proses fotosintesis memerlukan daun tanaman yang kering supaya proses pertukaran gas karbon dioksida dan oksigen dapat berlaku.

Untuk masalah ini, akan datang saya mungkin akan mengubah kedudukan lubang tanaman (anjak beberapa inci daripada hujung paip NFT), atau pun mengubah kedudukan paip masuk (paip masuk dari atas atau bawah, berbanding dari tepi dan air menuju terus ke net pot).

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan hidroponik dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: