Cara membuat sistem NFT untuk akuaponik - Saliran masuk

Jumaat, 14 Jun 2019, 9:54 pm500

Perpaipan masuk air daripada tangki takungan (sump tank) ke saluran NFT ini telah mengalami beberapa perubahan sebelum saya kekal dengan rekaan begini.

① – Paip daripada tangki takungan menggunakan hos HDPE 16mm yang digunakan untuk fertigasi. Saliran paip kemudian dipecahkan kepada setiap saliran NFT yang setiap satu mempunyai injap bebola untuk mengawal aliran air masuk.

Dengan menggunakan paip HDPE fertigasi ini, kerja² pemasangan adalah lebih mudah tanpa perlu digamkan dan paip mudah untuk dipotong dan disambungkan. Namun sambungan paip 16mm ini harganya agak mahal, contohnya sambungan T adalah kira² RM3.50, berbanding sambungan T PVC ½” adalah kira² RM0.80.

② – Kelainan susun atur yang saya buat disini ialah pada pam air. Disebabkan pam air yang saya gunakan, walaupun kadar alirannya 2000L/jam, ia tidak mencukupi untuk mengepam air ke komponen NFT. Air yang keluar terlalu perlahan dan sesetengah saluran NFT tidak menerima air langsung.

Jadi saya pasang dua pam air di dalam tangki takungan ini. Pam 2000L/jam mengepam air khusus untuk tangki ikan (anak panah hijau), manakala satu lagi pam yang saya gunakan dalam set akuaponik dalam rumah sebelum ini, berkadaran 1500L/jam menghantar air ke komponen NFT (anak panah merah).

③ – Setiap saluran NFT mesti mempunyai injap bebola masing². Ini penting kerana ia membolehkan aliran air dibahagikan sama rata kepada semua saluran.

Jika anda fikir ini dapat dilaksanakan tanpa menggunakan injap di setiap saluran, ia sebenarnya lebih menyukarkan untuk mengawal air.

Rasanya saya belum tunjuk bagaimana saya mengikat paip NFT pada struktur kayu, jadi anda boleh lihat di sini, saya menggunakan dawai yang diskru pada kayu rangka. Kelebihan menggunakan skru ialah ia mudah ditanggalkan jika mahu mengubah suai paip NFT.

④ – Ini susun atur yang saya buat sebelum ini. Paip ½” datang dari tangki takungan yang berkongsi paip ke dalam tangki ikan, kemudian saliran dibahagi dua, dengan dikawal hanya 2 injap bebola.

Sesetengah saluran NFT tidak mendapat aliran air langsung, manakala yang lain mendapat air yang terlalu banyak. Susunan paip NFT juga agak janggal, dengan paip 10’ diletak di tengah².

Oleh itu, saya sarankan bagi anda yang mahu membina sistem NFT, hendaklah memasang injap bebola di setiap saluran NFT, walaupun kosnya agak tinggi, tapi ia memudahkan kerja.

Buat masa sekarang kesemua komponen telah pun siap – tangki ikan, penapis pepejal, penapis bio, tangki takungan dan komponen hidroponik (NFT), hanya tinggal untuk membeli anak ikan dan mula menternak di dalam tangki. Operasi akuaponik ini mungkin akan dimulakan dalam sebulan dua lagi, kerana saya ingin merancang & menyusun jadual penanaman sayur dan penternakan ikan, supaya saya dapat menjangkakan berapa kos untuk menjalankan operasi ini.

Sambungan artikel:

Ikuti Instagram dan Facebook saya untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan aquaponics dan juga projek² sampingan saya.

Tulis komen: