Tonton MyTV dilengkapi intisari rancangan pada smart TV bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Pelarasan pH larutan nutrien hidroponik

Jumaat, 8 November 2019, 5:30 pm0

Salah satu perkara yang sering terlepas pandang bagi mereka yang baru mula bertani secara konvensional (menggunakan tanah) atau moden (hidroponik atau akuaponik) ialah tahap pH media. pH ialah unit untuk ukuran tahap keasidan atau kealkalian sesuai bahan. pH 7 ialah neutral (tawar), rendah daripada 7 ialah asid (masam) dan lebih dari 7 ialah alkali (pahit).

Setiap tumbuhan memerlukan tahap pH yang berbeza untuk akarnya menyerap nutrien dengan efektif. Tahap pH yang tidak sesuai menyebabkan nutrien tidak dapat diserap oleh akar tumbuhan dan seterusnya menyebabkan kekurangan nutrien.

Jenis sayuran yang saya tanam sekarang adalah bertumpu kepada jenis daun seperti sawi dan salad. Akan datang saya rancang untuk menanam juga sayur jenis herba berbatang lembut seperti daun bawang, daun sup, ketumbar, pasli dan pudina. Tanaman ini rata² memerlukan tahap pH antara 5.5 ke 6.5.

① – Pada mulanya tahap pH dalam set hidroponik saya adalah dalam 6.8 sebelum ditambah air baja. Selepas ditambah air baja, pH menurun ke sekitar 5.5 ke 5.8. Kemudian, selepas beberapa hari, pH turun lagi ke 5.0 sehinggalah yang ditunjukkan dalam gambar, pH turun ke tahap berasid sederhana iaitu 4.38.

② – Untuk menaikkan pH ke paras yang optimum (5.5 ke 6.5), saya menggunakan kulit telur ayam. Komposisi kimia kulit telur ialah kalsium karbonat, sama seperti kapur pertanian.

Kulit telur yang tidak digunakan selepas memasak, daripada terbuang begitu sahaja, lebih baik digunakan semula untuk tujuan ini, lagipun ia lebih menjimatkan kos operasi hidroponik.

Saya gunakan jaring kalis serangga sebagai uncang untuk menempatkan kulit telur ini di dalam tangki takungan. Selepas kulit telur diikat di dalam uncang ini, saya pijak² telur ini sehingga hancur, tapi tidaklah sehingga halus seperti serbuk. Cukup kesemua kulit telur itu hancur, supaya lebih banyak permukaan kulit telur terkena pada air, seterusnya bertindak balas dengan keadaan berasid air nutrien untuk membebaskan unsur kalsium ke dalam air.

Kalsium adalah salah satu makronutrien yang diperlukan tumbuhan dalam kuantiti yang agak banyak.

③ – Uncang berisi kulit telur ditenggelamkan sepenuhnya di dalam tangki takungan. Selang beberapa hari, paras air dalam tangki ini perlu diperiksa supaya kulit telur tetap terendam dalam air.

Saya menukarkan kulit telur ini dengan yang baru setiap 3 minggu, selepas memerhatikan tempoh keberkesanannya dalam menaikkan pH air. Maksudnya, jika tahap pH semakin menurun walaupun kulit telur telah terendam dalam air, maka kulit telur sudah tidak berkesan untuk menaikkan pH dan perlu ditukar baru.

④ – Ini rekod parameter air larutan nutrien dalam set hidroponik ini setakat hujung Oktober. Dapat diperhatikan, pH air meningkat dari 4.55 ke 5.56 selepas saya menukarkan kulit telur yang baru.

⑤ – Tanaman nampaknya lebih segar selepas tahap pH dan EC dilaraskan ke tahap optimum. Di sebelah kiri ialah sayur salad kampung, dan sebelah kanan, sayur sawi. Sayur salad yang besar ini berumur 5 minggu lebih, dah boleh dituai dah 😁.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan hidroponik dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: