Playlist MyTV untuk smart TV berserta intisari rancangan bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Apa itu CHOP dan CHIFT PIST dalam aquaponics?

Jumaat, 12 April 2019, 3:37 pm0

CHOP? CHIFT PIST? APEKEBENDALAHTU?

Dalam set aquaponics yang saya buat sebelum ini, kesemuanya menggunakan kaedah pam air di dalam tangki ikan. Untuk sistem yang mempunyai sedikit ikan, kaedah ini tidak ada banyak masalah. Tapi apabila sistem itu dikembangkan untuk skala komersial, kaedah tersebut menjadi kurang sesuai, lebih-lebih lagi pam air yang akan selalu tersumbat dengan sisa pepejal daripada tangki ikan.

Dengan itu, kaedah CHOP ataupun CHIFT PIST digunapakai. CHOP adalah kependekan kepada Constant Height One Pump (ketinggian malar, satu pam), manakala CHIFT PIST pula ialah Constant Height In Fish Tank, Pump In Sump Tank (ketinggian malar dalam tangki ikan, pam dalam tangki takungan).

Kedua-duanya adalah kaedah yang lebih kurang sama, iaitu dengan meletakkan pam air di dalam tangki takungan (sump tank), manakala tangki ikan dibersihkan menggunakan kaedah SLO (solid lifting outlet atau paip keluar mengangkat pepejal), yang tidak mudah tersumbat berbanding pam air.

Menurut nama kaedah tersebut, aras kedalaman air tangki ikan adalah tetap, walaupun ketika berlaku kebocoran (pada paip lain dalam sistem) atau kegagalan pam air. Berlainan dengan jika pam air diletakkan di dalam tangki ikan, jika berlaku kebocoran, tangki ikan berisiko untuk kehilangan air hingga kering.

① – Bagi bersedia untuk operasi komersial, saya mengubah susun atur sistem aquaponics ini dengan mengaplikasi kaedah CHOP/CHIFT PIST. Air dari tangki ikan akan mengalir ke dalam tangki penapis aliran jejari (radial flow filter), kemudian ke tangki penapis bio, seterusnya ke tangki takungan.

② – Sambungan dari tangki penapis bio (bio filter) ke tangki takungan (sump tank). Tangki takungan ini diperbuat daripada tong 55 gelen untuk simpanan makanan. Sebaiknya gunakan tong yang baru atau kalau beli yang terpakai, pastikan ia tidak digunakan untuk menyimpan bahan kimia, kerana sisa kimia akan memberi kesan tidak diingini kepada ikan dan tanaman.

Pam air akan diletakkan di dalam tangki takungan, yang mengalirkan air kembali ke tangki ikan, dan satu aliran akan ditambah ke komponen hidroponik. Kali ini saya memilih untuk menggunakan kaedah NFT (nutrient film technique atau teknik filem nutrien).

③ – Kelainan yang saya buat daripada kaedah CHOP/CHIFT PIST yang piawai ialah saya menyambung saluran dari pancur atap ke dalam satu tong yang bertindak sebagai penapis – kotoran akan mendap ke dasar tangki, dan air yang lebih bersih akan melimpah masuk ke dalam tangki takungan untuk menambah kuantiti air dalam sistem. Walau bagaimanapun, ini hanya pemasangan sementara, dan saya mungkin akan menukarnya pada masa akan datang.

④ – Ini berita buruk. Kesemua ikan emas shubunkin telah mati semasa saya mengubah suai susun atur sistem aquaponics ini. Besar kemungkinan kerana cuaca panas – saya menukar air menggunakan air paip yang barangkali mengandungi klorin yang tinggi ataupun suhunya tinggi. Akan tetapi, ini juga berita baik kerana ia memberi ruang kepada saya untuk fokus kepada penternakan tilapia.

Ubah suai ini sebenarnya telah pun siap dua ke tiga minggu lalu, namun disebabkan cuaca yang jarang hujan, tangki ikan masih lagi belum penuh 🐟.

Facebook

Pin this image:

Tulis komen: