Playlist MyTV untuk smart TV berserta intisari rancangan bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Selamat dekad baru 2020-an

Jumaat, 3 Januari 2020, 6:00 pm0

Sempena tahun baru 2020, saya mahu melihat kembali ‘azam’, ataupun lebih tepat lagi, sasaran untuk tahun lalu, setakat mana yang telah dicapai. Seperti yang saya tulis sebelum ini, biasanya saya tiada azam tahun baru, cuma ada beberapa sasaran untuk dicapai.

Bermula tahun lalu, saya mula menulis dalam bahasa Melayu sebab mahu menumpukan kepada pembaca di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia, negara² yang bertutur bahasa Melayu. Boleh dikatakan sasaran ini berjaya 🎉, berdasarkan data dari Google Analytics, kesemua negara yang saya sebutkan di atas termasuk dalam senarai 10 negara teratas pengunjung blog ini. Terima kasih saya ucapkan kepada para pembaca semua 🙏. Teruskan sokongan dengan melawati artikel² lain dalam blog ini secara kerap.

Data dari Google Analytics, perbandingan bilangan pengunjung blog pada Januari 2019 dan Disember 2019.

Kemudian saya ada menyentuh berkenaan menyiapkan rumah kampung. Tahun lalu saya sasarkan untuk menyiapkan rumah ini hingga ke tahap dapat didiami, namun disebabkan beberapa masalah dan kekangan, saya hanya mampu siapkan dinding bilik dan pintu rumah. Namun begitu, ini satu pencapaian yang cukup baik, sekurang²nya saya telah bermalam di rumah ini, untuk bereksperimen & mencuba rasa duduk kat rumah yang dibina sendiri 😌.

Rumah kampung ni dekat saja dari jalan raya.

Tahun ini saya sasarkan untuk menyiapkan terus rumah ini. Antara masalah yang dihadapi tahun lalu ialah berkenaan bekalan elektrik yang masih belum lagi disambung ke rumah ini. Oleh itu, apabila bekalan elektrik telah ada 🔌, dapatlah saya gunakan perkakas elektrik (power tools) yang dapat memudahkan kerja² pembinaan, berbanding menggunakan cara manual ataupun bergantung kepada perkakas yang menggunakan bateri (cordless power tools).

Bahagian rumah yang belum siap adalah bahagian dapur dan bilik air. Terdapat beberapa bahagian pembinaan yang saya belum pernah cuba buat, tapi saya akan belajar cara buat dan berkongsi tentang pengalamannya dengan pembaca di blog ini 😎. Antaranya adalah berkenaan mendirikan tiang rumah, menyambungkan kayu rasuk, memasang kayu² bumbung, membina lantai simen, memasang jubin, memasang dinding drywall dan sebagainya.

Paip NFT digunakan untuk sistem hidroponik

Tahun lalu saya sasarkan untuk menyiapkan set akuaponik. Set tersebut siap, tapi operasinya tidak dapat dijalankan disebabkan faktor kos. Oleh itu saya tukarkan kepada sistem hidroponik. Walau bagaimanapun, sistem hidroponik juga memakan kos yang agak tinggi bagi saya, sebab pam air yang digunakan dipasang 24 jam sehari, menyebabkan bil elektrik melambung tinggi 😨. Tak pasti ia disebabkan oleh jenis pam atau pun sebab² lain, tapi saya terpaksa menghentikan operasi hidroponik ini juga. Selepas ini, saya bercadang untuk menggunakan kaedah Kratky untuk hidroponik sebab ia tidak menggunakan pam.

Hasil tuaian cili padi minggu lalu.

Untuk projek agrikultur yang lain seperti penanaman cili, ia telah diteruskan pada penghujung tahun lalu, dan setakat ini telah membuahkan hasil yang agak memberangsangkan. Cuma disebabkan cuaca yang kerap hujan, saya risau pokok cili ini tidak dapat menghasilkan buah cili yang berkualiti. Untuk tahun ini, penanaman cili ataupun sayuran berpokok lain rasanya belum lagi menggunakan kaedah fertigasi, masih lagi guna cara penyiraman dan pembajaan secara manual, juga disebabkan atas faktor kos.

Penternakan ayam kampung pula agak tergendala, walaupun reban ayam telah disiapkan. Beberapa bulan lalu, semasa musim kering dan jerebu, ayam² tersebut diserang penyakit, yang menyebabkan ayam menjadi lemah dan mati. Khuatir lebih banyak ayam akan mati, kami pun menjual kesemua ayam² yang ada, yang nampak sudah tidak aktif. Tahun ini, kemungkinan saya tidak lagi menternak ayam kampung, mungkin akan bertukar kepada ayam daging atau ayam penelur 🐓(atau digelar ‘ayam bandar’ oleh orang kampung, ayam yang dijual kat pasar basah tu, a.k.a ayam KFC 🍗).

Si kuning #emau ni dah ada anak seekor 🐱.

Selain daripada itu, tahun ini mungkin saya akan perbanyakkan lagi kandungan dalam bentuk video. Kandungan dalam format tulisan dan gambar masih lagi menjadi keutamaan, cuma saya mahu cuba persembahkan kandungan secara lebih terperinci, terutamanya berkenaan kerja² DIY. Menjadi Youtuber tengah trending sekarang, mana tau ada rezeki 😜.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru blog ini.

Tulis komen: