Tonton MyTV dilengkapi intisari rancangan pada smart TV bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Bangku kecil DIY

Selasa, 19 November 2019, 6:00 pm0

Projek kerja kayu upcycle (guna semula) yang mudah, sambil mencuba beberapa teknik kerja kayu yang saya pelajari dari Youtube.

① – Meja komputer ini dah berumur 10 tahun lebih, saya beli selepas tamat pengajian di UTP. Beberapa bahagian kayunya telah berkecai dan permukaan meja pun telah melengkung. Nak digunakan sebagai meja kerja kayu, struktur dah tak berapa kuat, jadi saya ingat nak buat bangku kecil sahaja.

② – Bahagian² meja telah dileraikan dan disusun.

③ – Papan meja dipotong mengikut sukatan. Bahagian yang dipotong digosok dengan kertas pasir untuk membuang serpihan yang kasar. Papan² ini akan dilekatkan bersama menjadi dua lapis, bagi menambah kekuatan struktur papan.

④ – Gam kayu dibubuh pada permukaan papan yang tidak mempunyai lapisan licin kemudian dilekatkan bersama. Bagi papan yang kedua² permukaannya licin, saya gosok menggunakan kertas pasir supaya permukaan menjadi sedikit kasar supaya gam melekat lebih kuat.

⑤ – Papan² ditindih dengan bata dan dibiarkan kering selama beberapa hari. Dua papan di sebelah kiri adalah untuk tempat duduk pada bangku, manakala empat papan yang lebih kecil di sebelah kanan adalah untuk kaki bangku.

⑥ – Selepas beberapa hari, kerja² pemasangan dimulakan. Saya susun papan² ini bagi memastikan kedudukan bahagian² bangku sebelum dipasang.

⑦ – Skru digunakan untuk mengikat bahagian² bangku bersama² dengan gam kayu. Di sini saya menggerudi lubang untuk skru. Mula² dengan mata gerudi yang lebih besar, supaya kepala skru dapat tenggelam dari permukaan papan. Kemudian dengan mata gerudi yang lebih kecil, untuk lubang skru. Terdapat jenis mata gerudi yang khas untuk membuat lubang skru seperti ini yang dinamakan counter sink bit

⑧ – Pada bahagian yang menerima hujung skru, saya gerudi sedikit lubang untuk skru supaya papan tidak merekah dan pecah apabila ditebuk oleh skru.

⑨ – Rangka kaki bangku telah siap dipasang. Sambungan dibuat menggunakan campuran skru 2” dan 1½” sebab skru 2” tidak cukup untuk menyambung kesemua bahagian. Bagi bahagian yang menggunakan skru 1½”, saya menggerudi lubang skru lebih dalam supaya kepala skru tenggelam lebih dalam dan skru dapat sampai dan mengikat papan yang disambung.

⑩ – Gam kayu dibubuh pada kaki bangku bagi menyambung bahagian tempat duduk, dan seterusnya juga dipasang skru.

⑪ – Bata diletakkan di atas bangku untuk menekan permukaan tempat duduk sambil dibiarkan gam kering.

⑫ – Proses yang sama diulang untuk memasang bangku yang kedua, dan juga ditindih dengan bata.

OK, siap. Dapat digunakan semasa membuat kerja diluar rumah, tapi tak dapat digunakan di tempat basah, habis lemau papan bangku ni nanti 😅.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan kerja kayu dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: