Sangkar anak ayam kalis tikus DIY

Jumaat, 27 Disember 2019, 6:00 pm282

Sebelum ini saya ada paparkan sedikit berkenaan sangkar anak ayam yang digunakan di kampung untuk menjaga anak ayam yang baru menetas sehingga ia cukup besar untuk dilepaskan di dalam reban ayam. Rekaannya yang mendapat inspirasi daripada sangkar burung, bertujuan untuk mengelakkan anak ayam daripada dimakan pemangsa seperti tikus. Dalam artikel ini, saya akan tunjukkan langkah² untuk membina sangkar sedemikian.

Sangkar yang pertama ①

Bahan² yang digunakan – penutup kipas, jaring dawai (wire mesh), penutup baldi dan dawai.

Saya gunakan bahan² terpakai yang ada di sekitar rumah. Penutup kipas lama hanya tinggal satu, yang satu lagi dah digunakan sebagai gril pemanggang 😆. Penutup baldi pula daripada penapis akuaponik. Jaring dawai dah lama beli untuk reban ayam kat kampung tapi rancangan sering berubah, lalu tak jadi pakai, sekarang baru nak pakai 😅.

Mengukur jaring dawai untuk dinding sangkar.

Jaring dawai digunakan untuk membuat dinding sangkar. Mulanya saya guna cara mengukur diameter (ukur lilit) penutup baldi untuk mendapatkan panjang jaring yang ingin dipotong. Tapi kemudiannya saya hanya gulungkan jaring dawai tersebut dan letakkan di atas penutup baldi, guna agak² panjang yang nak dipotong, kemudian terus potong dawai tersebut menggunakan pemotong dawai. Cara ini lebih cepat kerana ukuran ini tidak perlu terlalu tepat.

Hujung jaring dawai disambungkan secara bertindih dan diikat

Semasa memotong jaring dawai, potong dawai dengan membiarkan lebihan dawai supaya dapat digunakan untuk mengikat kembali hujung jaring tersebut.

Penutup baldi diikat sebagai lantai sangkar.

Untuk sangkar yang pertama ini, saya ikat penutup baldi ke jaring dawai seperti cara menjahit. Cara ini agak sukar, sebab kena potong dawai yang cukup panjang untuk dimasukkan selang-seli ke dalam lubang pada penutup tersebut.

Penutup kipas pula digunakan untuk bahagian atas sangkar.

Hanya dengan menggunakan sedikit dawai, penutup kipas diikatkan pada jaring dawai sebagai penutup atas sangkar ini. Hujung jaring dawai yang panjang juga dilipat dan disangkut pada penutup ini.

Sangkar yang pertama siap setakat ini dulu.

Sangkar yang kedua ②

Bahagian bawah sangkar yang kedua tidak gunakan cara ‘jahit’ lagi.

Untuk sangkar yang kedua, bahagian penutup bawahnya diikat kepada jaring dawai menggunakan cara ini. Beberapa dawai dipotong cukup² panjang untuk dimasukkan pada lubang pada penutup baldi yang telah ditebuk awal. Cara ini lebih mudah kerana satu persatu dawai diikat menyambungkan lantai sangkar dan dinding sangkar, berbanding dengan cara selang-seli di mana dawai yang panjang kena masuk setiap lubang pada lantai sangkar, kemudian ditarik keluar, masuk lagi ke lubang yang lain, agak leceh.

Lebih kemas, cepat siap dan penggunaan dawai juga dapat dikurangkan.

Lubang pintu sangkar.

Pintu sangkar dibuat dengan hanya memotong jaring dawai dinding sangkar, mengikut saiz yang dikehendaki. Kali ini, jaring dipotong habis tanpa meninggalkan hujung dawai supaya apabila memasukkan tangan ke pintu ini, tangan tidak luka.

Untuk sangkar yang kedua ini juga, lubang pintu kena buat terlebih dahulu sebelum memasang penutup atas. Ini kerana tiada cara lain untuk mengikat dawai pengikat pada penutup dari dalam sangkar. Kalau tiada lubang pintu ini, mana dapat tangan masuk dalam sangkar dan mengikat dawai dari dalam.

Engsel pintu sangkar.

Pintu sangkar ini dibuat menggunakan lebihan jaring dawai. Potong jaring dengan saiz yang lebih besar daripada lubang pintu sangkar. Kemudian, ikatkan pada dinding sangkar seperti dalam gambar di atas.

Lantai sangkar juga telah dibuat beberapa lubang bersaiz sederhana, cukup untuk mengeluarkan sisa najis atau air yang bertakung, dan tidak menyebabkan anak ayam terlepas keluar ataupun pemangsa masuk.

Dua² sangkar dah siap.

Sangkar dah siap, tapi masih ada lagi yang belum ada.

Bekas makanan dan air untuk anak ayam

Bekas makanan dan air menggunakan botol plastik terpakai.

Selepas minum air tin atau air botol semasa dalam kereta, saya akan simpan tin atau botol ini, dengan anggapan tin aluminium boleh dijual untuk dikitar semula, dan botol plastik dapat digunakan semula dengan pelbagai cara.

Saya gunakan botol plastik terpakai tersebut untuk dijadikan tempat letak makanan dan air untuk anak ayam dalam sangkar ini. Botol dipotong mengikut bentuk yang dikehendaki masing², asalkan bahagian bawah botol masih ada, yang berfungsi seperti mangkuk.

Tempat makanan dan air ini diikat di dalam sangkar seperti dalam gambar di atas. Dua lubang digunakan untuk mengikat menggunakan zip tie supaya kedudukan bekas tidak mudah senget ke kiri-kanan, yang akan menyebabkan makanan atau air tumpah.

Sangkar² yang dah siap digantung di luar rumah.

Begini rupa hasil akhir. Cara menggunakan sangkar ini sama seperti sangkar burung, iaitu dengan menggantungkannya, supaya tak mudah dipanjat dan dimasuki tikus.

Sangkar² ini akan digunakan apabila saya telah berpindah ke rumah kampung nanti, dan apabila telah bersedia untuk memulakan operasi penternakan ayam.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan penternakan ayam dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Komentar (1):

Pingback: Tikus ni punca kekurangan ayam

Tulis komen: