Cara pasang jernang pintu
Jumaat, 20 September 2019, 5:30 pm0
① – Ini jernang pintu atau rangka pintu yang asal. Tapi pintu yang saya beli tidak muat pada jernang ini, jadi kenalah diubahsuai.
Jika dilihat di bahagian atas terdapat paip konduit yang telah pun dipasang, tapi untuk kerja ubahsuai ini terpaksa ditanggalkan semula.
② – Hanya tiang rangka sebelah kanan dibuka bersama dengan dinding. Saya menggantikan kayu rangka tersebut dengan kayu 2×3 yang baru. Yang sebelah kiri masih gunakan yang asal.
③ – Saiz jernang pintu ini ialah 3’ (92cm) lebar dan 7’ 1¼” (216.5cm) tinggi. Jernang diletakkan dahulu pada tempatnya kemudian tiang rangka baru pada bahagian kanan didirikan. Gunakan apit G untuk menetapkan jernang dan tiang rangka pada tempatnya.
Pada ketika ini, jernang pintu mestilah diselaraskan kedudukannya supaya tegak, menggunakan timbang air (level). Walaupun nampak mudah tapi proses inilah yang mengambil paling banyak masa saya untuk memastikan jernang tidak senget, kerana jika senget ia akan menyebabkan daun pintu akan terhayun sendiri selepas dibuka dan dilepaskan.
④ – Di bahagian kiri jernang dan tiang rangka terdapat ruang antara kayu yang agak jarang. Saya menggunakan beberapa kayu pengisi (shim) untuk mengisi ruang tersebut sebelum memasang skru dan paku pada jernang ke rangka dinding.
Dinding pada bahagian kanan pula telah pun siap dipasang semula. Cuma tinggal untuk memasang dinding plywood sahaja lagi.
⑤ – Inilah ruang antara kayu yang saya nyatakan tadi. Ruang ini mesti diletakkan kayu pengisi (shim) pada tempat di mana ia akan diskru atau dipaku, supaya kedudukan jernang tidak berubah².
⑥ – Sambungan jernang dan rangka dinding bahagian yang sebelah lagi. Saya gunakan plywood lebihan sebagai kayu pengisi. Untuk mendapatkan ketebalan kayu pengisi yang sesuai, gunakan sahaja pahat untuk membelah kayu atau plywood.
Ruang antara jernang dan rangka ini akan ditutup sepenuhnya selepas pintu telah dipasang nanti.
—
Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan pembinaan rumah kampung dan juga projek² sampingan saya.
Pin this image:
Dashcam Drive #5 – Moyan Square → Emart Batu Kawa
24 September 2019
Rak sidai kain DIY daripada katil bayi
13 September 2019