Playlist MyTV untuk smart TV berserta intisari rancangan bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Pemasangan pagar reban ayam kampung

Jumaat, 28 Jun 2019, 6:19 pm0

① – Tiang² daripada kayu belian 2×2 6’ dah ditanam sedalam 1’ sejak sebelum puasa lagi, jadi sekarang bolehlah dipasang dengan pagar, sebab yakin tanah di kaki tiang dah padat.

Lagipun tiang² semuanya dah dipasang kayu penyokong, lebih² lagi tiang di penjuru dan pintu reban, yang mana akan menampung beban yang lebih daripada pagar.

Pagar yang saya gunakan ialah pagar dawai bersalut (coated chain link), tinggi 5’, setiap gulung ada 50’, jadi jumlah panjangnya ialah 150’ atau kira² 45m.

② – Cara saya pasang pagar ialah dengan memasang paku pada 3 atau 4 bahagian pada tiang, kemudian sangkutkan pagar pada tiang tersebut, lepas itu buka gulungan pagar sehingga ke tiang seterusnya dan sangkutkan pula pada tiang tersebut.

Dawai yang berikat satu kali berada pada bahagian atas, manakala dawai yang berikat berkali² berada pada bahagian bawah.

Saya bermula pada tiang pintu reban, dan pada tiang ini, pagar dipaku terus sebab mahu menetapkan kedudukan pagar dan pagar tidak perlu dilaraskan di sini, hanya perlu dilaraskan ketegangannya pada tiang² lain.

Cara pemasangan pagar menggunakan paku pula adalah dengan menukul paku separuh jalan ke dalam tiang, sangkutkan dawai pagar pada paku tersebut dan bengkokkan paku ke arah bertentangan dengan arah pagar ditarik.

③ – Pagar ini apabila dibuka daripada gulungannya, sambungan antara dawai akan menjadi rosak begini. Tak pasti jika cara saya buat adalah salah, tapi disebabkan saya buat kerja ini seorang diri, jadi beginilah hasilnya 😅.

Ikatan pagar ini terpaksa disusun dan disambung semula sehingga sempurna seperti di dalam gambar, dan kerja inilah yang mengambil banyak masa daripada keseluruhan masa untuk menyiapkan pemasangan pagar.

Untuk setiap pagar, akan ada satu dawai lebih yang dibekalkan untuk menyambungkan antara gulungan pagar, jadi saya tidak perlu menggunakan dawai lain.

④ – Penghujung pagar bersambung kembali dengan pintu reban. Ada lebihan pagar di situ, mungkin akan digunakan untuk membuat pintu nanti.

Keseluruhannya, pemasangan ini berjaya dilakukan dalam masa satu hari, tapi ia belum siap sepenuhnya. Terdapat bahagian di mana pagar terletak agak tinggi daripada permukaan tanah, dan ayam² mungkin dapat lepas daripada bawah pagar.

Ketegangan pagar juga tidak seberapa, sebab belum dipasang dawai merentas pagar antara tiang. Saya kira ini hanyalah pagar reban ayam jadi tak perlulah dibuat terlalu sempurna 😏.

Ikuti Instagram dan Facebook saya untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan penternakan ayam kampung dan juga projek² sampingan saya.

Tulis komen: