Larutan nutrien hidroponik DIY
Jumaat, 1 November 2019, 5:30 pm0
Larutan nutrien ataupun air baja yang saya gunakan pada set hidroponik ini adalah menggunakan baja NPK yang diperam. Saya memilih cara ini berbanding menggunakan baja AB kerana saya ada menyimpan baja ini dalam kuantiti yang banyak dan telah lama tidak digunakan. Dalam artikel lalu saya ada menyebut berkenaan kos untuk menjalankan operasi akuaponik yang agak tinggi, jadi membeli baja baru adalah bukan pilihan yang wajar buat masa sekarang.
① – Cara saya membuat baja peram ini adalah dengan mengisi botol plastik terpakai dengan baja NPK, lebih kurang 1/6 ke 1/5 isipadu botol. Kemudian isi dengan air paip, dan simpan di tempat yang tidak terkena sinaran matahari secara terus. Terbalik²kan botol, bukan goncang, satu ke dua hari sekali untuk mencampuradukkan baja dan air. Air baja boleh digunakan selepas satu minggu.
② – Ini baja NPK yang saya gunakan, berkadaran 12-12-17-2MgO+TE
N – Nitrogen 12%
P – Fosforus 12%
K – Kalium / Potassium 17%
Mg – Magnesium 2%
TE – trace element (unsur surih, seperti kuprum, zink, boron, dan mangan)
Baja ini asalnya adalah baja subsidi untuk penanaman sama ada pisang atau nenas, kurang pasti sebab dah dekat dua tahun dapat baja ini dari kampung. Baja ini sesuai untuk tanaman berbuah, sebab itu kadar potassiumnya tinggi. Untuk tanaman sayur daun, sebaiknya gunakan baja NPK yang kadarnya sama, seperti 15-15-15.
Jenama baja tidak penting, tidak kira cap Jambatan, kepala ayam, Serbajadi ataupun seperti yang ini, YaraMila, yang kita mahu lihat ialah nisbah NPKnya.
③ – Air baja diisi ke dalam tangki takungan (sump tank / reservoir) set hidroponik pada sukatan tertentu, tapi saya tidak gunakan cara kiraan liter. Saya isi tangki dengan air baja sehingga bacaan EC (electrical conductivity / kekonduksian elektrik) dan TDS (total dissolved solids / jumlah pepejal terlarut) dalam julat yang optimum, iaitu EC dalam lingkungan 1.0 ke 1.2 mS/cm (milisiemens per sentimeter), dan TDS dalam lingkungan 500 ke 600 ppm (parts per million).
Bacaan EC diambil terlebih dahulu sebelum mengetahui adakah perlu untuk menambah air baja. EC meter yang saya miliki ini memberi bacaan dalam µS/cm (mikrosiemens per sentimeter). 1000 µS/cm bersamaan 1.0 mS/cm, dan unit mS/cm inilah yang biasanya digunakan pada penanaman hidroponik secara amnya.
④ – Tiada cara khusus yang saya gunakan untuk mengetahui berapa banyak air baja perlu diisi ke dalam tangki takungan, tapi seingat saya pada perubahan bacaan 978 ke 1454 µS/cm, saya mengisi kira² lebih setengah botol air baja. Selepas menambah air baja, saya tunggu dalam satu jam untuk memastikan air dalam tangki telah cukup bercampur dan beredar ke seluruh set hidroponik. Kemudian, ambil bacaan EC sekali lagi, dan ulang sehingga mencapai bacaan sasaran.
Pada bacaan yang tinggi (melebihi 1.2 mS/cm), daun sayur mengalami keadaan yang dipanggil nutrient burn – daun kelihatan mengecut, berkedut seperti plastik yang dibakar.
Bacaan TDS juga agak penting, tapi saya tidak menjadikannya panduan utama.
⑤ – Apabila bacaan EC dan TDS telah stabil selama kira² 2 minggu, kadar pertumbuhan sayur meningkat mendadak. Sayur sawi ini berumur dalam 10 minggu, dan saiznya sungguh besar. Ukuran dari hujung kiri ke kanan daun sawi ini lebih 16 inci. Saya ada mengambil beberapa helai daun sawi ini yang paling besar untuk dimasak, dan pokoknya dibiarkan tumbuh lagi. Dalam minggu ke 11 saya tuai kesemua sawi yang besar ini kerana ia telah mula berbunga.
⑥ – Namun, tidak semua tanaman hidup dengan subur seperti yang dikehendaki. Sayur kucai ini contohnya, agak terbantut dan pertumbuhannya agak terhalang jika dibandingkan dengan yang pernah kami tanam di tanah. Mungkin kaedah NFT ini kurang sesuai untuk akar sayur kucai, sebab saya pernah melihat video di Youtube yang mana tanaman daun bawang dalam DWC (deep water culture) kelihatan lebih subur dan sihat membesar.
—
Terdapat makronutrien lain yang tidak terdapat dalam baja NPK ini, iaitu kalsium dan sulfur. Untuk kalsium, saya menggunakan kulit telur ayam, yang juga bertindak untuk menaikkan pH air, perincian berkenaannya akan saya tulis minggu depan. Untuk sulfur pula, saya belum ada cara lagi untuk memastikan kandungannya cukup dalam larutan nutrien. Sayuran yang ditanam juga tidak menunjukkan tanda² kekurangan nutrien yang kritikal, jadi ini akan dikendalikan kemudian.
—
Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan hidroponik dan juga projek² sampingan saya.
Pin this image:
5 November 2019