Bancuh baja AB pepejal untuk jadi stok
Sabtu, 18 September 2021, 10:45 pm0
Kat bungkusan baja AB pepejal selalunya ada arahan untuk membancuh, berapa banyak air untuk berat baja yang ada. Baja AB yang saya beli ini ⁽¹⁾ beratnya 1 kg untuk setiap satu, dan kena bancuh dengan 4 liter air. Hasilnya akan ada 4 liter baja A & B yang masih berkepekatan tinggi, untuk disimpan sebagai stok, dan kena dicairkan lagi bila nak diguna pada tanaman #hidroponik.
Untuk komponen baja A, ia terdiri daripada kalsium nitrat. Bentuk pepejal nampak seperti butir² bersaiz biji betik. Warna pepejal adalah putih sedikit coklat, bila larut dalam air, berwarna coklat kemerahan. Mungkin sebab tu kat paket dilabel warna merah.
Cara saya bancuh, isi baldi dengan 4 liter air paip. Saya gunakan botol air yang ada sukatan 2 liter untuk menyukat berapa banyak air. Lepas tu, masukkan pepejal baja sedikit demi sedikit, sambil dikacau menggunakan paip PVC. Kacau lagi dalam 10 minit hingga semua larut. Saya ada biarkan sekejap, tengok air larutan dah tak keruh lagi, boleh nampak kalau ada pepejal yang belum larut.
Kemudian tuang air larutan baja ke dalam bekas atau botol simpanan. Tong gelen yang saya guna ni dibeli kat kedai Eco, kebetulan cukup² untuk isi 4 liter cecair. Kalau tak ada corong untuk tuang air tu, boleh potong botol air mineral & guna seperti dalam gambar.
Sebelum bancuh baja B, cuci bersih² baldi, corong, gayung & paip PVC supaya tak bercampur sisa dari baja A.
Untuk komponen baja B pula, ini adalah baja NPK. Keadaan pepejalnya lebih halus, nampak seperti serbuk pencuci. Nak larutkan pun ambil lebih sedikit masa. Lepas kacau lebih 10 minit, saya tengok masih banyak serbuk² baja yang belum larut dalam air. Mungkin air dalam baldi dah jadi larutan tepu, tak dapat nak larutkan lagi pepejal. Warna larutan pula putih kehijauan, sama macam kat paket, label warna hijau.
Tong gelen berisi larutan stok baja AB ni kena simpan tempat sejuk, tak kena matahari terus. Sticker kat paket bungkusan baja tu senang nak ditanggalkan, jadi saya cabut & lekat ke tong ini, supaya ingat mana satu A & B.
Sekarang saya tengah semai benih capsicum & tomato ceri, nanti bila dah bercambah & sedia untuk pindah ke hidroponik, saya update lagi .
⁽¹⁾ https://azwan082.my/2021/09/nak-cuba-buat-hidroponik-kratky-method/
Sebelum ni nampak warna warni bangunan ni
17 September 2021