Tonton MyTV dilengkapi intisari rancangan pada smart TV bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Pemasangan dinding plywood rumah kampung secara solo

Selasa, 21 Mei 2019, 5:22 pm0

Secara asasnya, apabila memasang dinding secara solo, anda mahu dinding tersebut duduk tetap pada rangka sebelum dipaku atau diskru.

① – Untuk dinding bilik bahagian hadapan ini, ia bersebelahan dengan beranda, dan saya mahu ada sedikit ruang pada bawah dinding tersebut. Jadi di sini anda boleh gunakan apa² kayu atau papan yang sedia ada yang saiznya sama atau lebih kurang dengan ukuran yang dikehendaki.

Saya gunakan kayu 2×2 untuk menghasilkan ruang legaan 2”. Letakkan kayu tersebut selari dengan permukaan dinding, dan letakkan plywood di atas kayu itu tadi.

Bagi mengelak plywood daripada tumbang, saya sandarkan tangga kayu ke plywood tersebut. Saya gunakan paku 1½” terlebih dahulu untuk memastikan kedudukan plywood betul pada rangka dinding, supaya jika ada kesilapan, mudah untuk mencabut paku tersebut untuk membuat pembetulan.

Pakukan di penjuru bertentangan bagi memastikan kedudukan plywood sekata dengan rangka dinding, kemudian paku di sepanjang rangka dinding dengan paku 2½” untuk menyiapkan pemasangan.

② – Ini dinding yang siap dipasang, dapat dilihat lubang angin yang saya buat pada posting yang lalu, cuma bahagian atas lubang angin tersebut belum lagi dipasang dengan plywood.

③ – Ini bahagian dinding di belakang rumah, oleh kerana tiada lantai untuk meletakkan plywood tersebut, saya kena buat perancah (scaffolding) sendiri dengan meletakkan kayu 2×2 dan papan di atas kayu gelegar lantai, yang kebetulan ada lebihan keluar dari rangka tiang rumah.

Sama seperti dinding di bahagian hadapan, saya sandarkan tangga kayu untuk menyokong plywood tetap di rangka dinding, kemudian dipasang dengan paku 2½”.

④ – Plywood yang mengenai bahagian bumbung kena dipotong mengikut kecerunan atap, yang mana ia mempunyai ketinggian yang berbeza. Oleh kerana saya tidak mempunyai chalk line ataupun pembaris yang cukup panjang, saya gunakan cara ini untuk menghasilkan garis potongan yang berlainan panjang.

Mula² ukuran diambil dan dipindahkan ke atas plywood, sebagai contoh panjang satu sisi untuk plywood ini adalah lebih kurang 85” dan sisi yang bersebelahan pula dalam 88”.

Lepas itu pasang paku kecil di setiap sisi, cukup hingga paku itu melekat pada plywood, kemudian ikatkan tali menyambungkan kedua² paku di setiap sisi. Gunakan aras spirit (spirit level) untuk melukiskan garis di sepanjang tali tersebut.

Dengan itu, siap sudah pemasangan dinding bilik rumah kampung ini. Seterusnya, saya akan memasang tingkap dan pintu rumah, yang mungkin akan disambung semula dalam sebulan dua lagi. Buat masa sekarang, pintu hanya menggunakan plywood dan lubang tingkap ditutup dengan plywood dan lebihan atap metal sheet untuk mengelak air hujan ataupun dicerobohi 👻.

Ikuti Instagram dan Facebook saya untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan pembinaan rumah kampung dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: