Saiz standard kayu, papan dan plywood

Jumaat, 12 Julai 2019, 6:00 pm2,624

Sebelum kami mula membina rumah kampung, saya tidak tahu bagaimana mengenali saiz kayu, jenis² kayu dan bagaimana untuk membelinya di kedai hardware.

Bagi anda yang seperti saya dahulu, pertama sekali kita kena tahu sistem sukatan yang digunakan. Kayu² yang dijual adalah menggunakan sukatan imperial, iaitu inci dan kaki.

Saiz kayu

Saiz kayu dikenalpasti berdasarkan saiz keratan rentas. Jika anda ternampak atau terdengar orang berbincang pasal kayu 2×2, 2×4, 1×6, itu semua saiz keratan rentas dalam sukatan inci. 2×2 ialah 2 inci panjang dan 2 inci lebar, dan begitulah yang lain².

Namun, saiz kayu tidaklah tepat² incinya. Kalau kayu 2×2, saiz itu berbeza² dari 1½” hingga 2”. Untuk 1×2, ada dalam ⅝” hingga 1”. Selalunya kayu yang belum diketam akan mempunyai ukuran yang dekat dengan saiz yang dinamakan, sebab kayu yang dah diketam sudah tentu semakin kecil ukuran saiznya.

Apabila dibeli dari kedai kayu, panjang piawai adalah 12 kaki. Jika mahu yang lebih pendek, boleh minta pekerja kedai untuk memotongnya. Jika mahu yang lebih panjang lagi, mungkin boleh buat pesanan (special order) bergantung kepada kemampuan kedai tersebut. Selalunya kedai akan meminta ukuran dalam unit kaki berbanding meter.

Jenis kayu

Untuk jenis kayu pula, saya ada mengenali beberapa jenis berdasarkan kegunaannya. Secara umumnya, kedai hardware akan menyatakan jenis kayu tersebut adalah jenis keras atau lembut, bergantung kepada kegunaan anda sendiri untuk memilih yang mana satu.

Kayu campur jenis keras & lembut, saiz 1×2.

Kayu keras selalunya daripada jenis meranti, menggris, jati dan lain². Kayu lembut pula ada daripadanya diperoleh dari pokok buah²an. Kayu yang paling keras, paling tahan basah dan tahan reput ialah kayu belian. Harganya juga paling tinggi setakat yang saya pernah beli, saiz 2×4 disini berharga RM105 sebatang.

Kayu belian 2×4 yang digunakan pada rumah kampung kami.

Kayu belian 4×4, biasanya digunakan sebagai tiang rumah, kepunyaan jiran kami yang berdekatan dengan tanah kami di kampung.

Nota: Kayu yang bersaiz besar seperti 2×3, 2×4, 4×4, 2×6 ini selalunya digunakan untuk membuat tiang, rasuk, gelegar dan rangka rumah. Untuk membuat lantai atau dinding, selalu digunakan kayu papan bersaiz 1×4 atau 1×6. Kayu yang lebih kecil 1×1, 1×2, 2×2 pula mempunyai kegunaan yang pelbagai.

Plywood

Bagi plywood (papan lapis) pula, saiz piawainya ialah 4 kaki lebar dan 8 kaki panjang. Yang membezakannya ialah ketebalan papan. Saiz yang saya pernah beli ialah 3.6mm dan 12mm. Plywood 3.6mm ini saya dapati adalah yang kedua ternipis yang dijual kedai hardware tersebut, dan ia tidak kalis air. Manakala tebal plywood yang biasa digunakan pada perabot ataupun subfloor ialah ¾ inci bersamaan 18mm.

Plywood nipis 3.6mm, digunakan pada set DWC aquaponics.

Yang kalis air ialah jenis 12mm, saya gunakan sebagai lantai untuk rumah kampung. Terdapat juga jenis 10mm yang saya gunakan untuk membuat perabot DIY, yang saya peroleh daripada rumah pekerja kontrak pemasangan elektrik di kampung.

Terdapat juga jenis plywood yang lain contohnya papan OSB (oriented strand board) yang rupanya kelihatan seperti serpihan² kayu yang dilapis, dan juga papan MDF (medium-density fibreboard) yang diperbuat daripada habuk kayu yang dipadat dan digam bersama membentuk sekeping papan. Papan OSB dijual sama seperti plywood biasa, saiz 4’x8′ dan ketebalan 9mm, 12mm atau 18mm, tapi pada harga yang sedikit rendah, tahan lasak, sesuai untuk membuat lantai, dinding atau meja kerja. Papan MDF pula lebih mahal, sesuai untuk dibuat perabot.

Jadi sekarang anda dah tahu saiz dan jenis kayu, sebelum pergi ke kedai kayu atau kedai hardware, rancang dan kira dahulu jenis kayu yang anda mahu beli, supaya senang tauke mau kasi diskaun 😁.

Lain² kandungan menarik!

Ikuti Instagram dan Facebook saya untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru blog ini.

Pin this image:

Tulis komen: