Tonton MyTV dilengkapi intisari rancangan pada smart TV bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Cara merawat kayu untuk mencegah anai-anai

Selasa, 12 November 2019, 6:00 pm0

Kayu daripada pokok meranti yang baru dibelah ini akan digunakan untuk membuat bahagian dapur rumah kampung kami, dan ia mesti dirawat untuk mencegah daripada serangan anai-anai.

Anai-anai tertarik dengan bau kayu yang baru ditebang dan dibelah, untuk dijadikan makanan dan tempat tinggal mereka. Oleh itu, untuk mengelak perkara ini, bau kayu baru itu mestilah ditutup dengan bau yang lain, yang tidak digemari anai-anai.

Ini adalah cara kampung untuk merawat kayu yang baru dibelah. Gunakan minyak enjin terpakai (minyak hitam) yang dicampur dengan minyak diesel (ataupun minyak sola ikut sebutan orang kampung sini).

Minyak hitam mempunyai bau yang dapat menghalau anai-anai daripada mendekati kayu yang baru dibelah.

Minyak diesel pula digunakan untuk mencairkan sedikit minyak hitam, daripada menjadi terlalu pekat atau terlalu hitam melekat pada kayu.

Cara membubuh minyak pada kayu adalah dengan cara sapuan, seperti yang saya lakukan dalam gambar. Cara lain yang lebih cepat adalah dengan membuat satu kolam menggunakan kanvas (tarpaulin) yang panjangnya sama dengan panjang kayu. Kolam itu diisi dengan campuran minyak hitam dan minyak diesel, kemudian kayu direndam ke dalam kolam tersebut sehingga menutupi keseluruhan kayu.

Minyak hitam terpakai dapat dibeli dengan harga lebih kurang RM2 sebotol (4 liter). Ini merupakan pilihan yang paling menjimatkan kos. Jika mahu bahan merawat kayu yang lebih spesifik untuk tujuan ini, saya ada juga menggunakan cat anti anai-anai jenama Koya ini. Cat ini menyerap ke dalam kayu, dan bergantung kepada warna yang dipilih (saya pilih warna hitam), warna kayu akan berubah secara kekal. Bau cat ini seakan bau pen marker.

PS: Kerja² pembinaan rumah kampung mungkin akan bersambung bulan depan. Bulan ni banyak kerja² agrikultur 😅.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan pembinaan rumah kampung dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: