Pasang soundproof kat bumbung kereta Viva secara DIY
Rabu, 28 Oktober 2020, 11:30 am0
Tujuan saya memasang #soundproof pada bumbung #kereta adalah untuk mengurangkan bunyi bising daripada titisan air hujan. Kepingan besi (sheet metal) bumbung kereta adalah nipis, dan apabila diketuk, menghasilkan bunyi seperti tin kosong, bergema & berfrekuensi tinggi.
① – Oleh kerana sheet metal bumbung yang nipis, cara untuk menambah soundproofing adalah dengan menambah ketebalan kepingan besi dengan bahan lain. Di sini saya menggunakan flashband ini, ataupun disebut sebagai plumbers tape, untuk menambah ketebalan sheet metal kat bumbung.
Flashband ini biasanya digunakan untuk membaiki kebocoran pada paip, bumbung atau dinding. Ia diperbuat daripada getah dan mempunyai lapisan aluminium nipis di bahagian luar, rupanya lebih kurang macam cellotape.
Ada dua jenis flashband yang saya tahu setakat ini.
- Satu jenis getahnya berwarna hitam, dan tebalnya kira² 2-3mm.
- Satu lagi jenis getahnya berwarna putih, dan lebih nipis, kira² 1mm tebal, tapi getahnya lebih melekit berbanding yang warna hitam.
Sebaiknya gunakan yang jenis warna hitam, sebab lebih tebal & dapat menyerap getaran pada permukaan sheet metal dengan lebih baik, seterusnya mengurangkan lagi bunyi bising.
Kebiasaannya soundproofing kereta dilakukan menggunakan bahan bitumen dengan aluminium foil, contohnya jenama daripada STP Autofun. STP Autofun ni yang saya gunakan untuk soundproof pada pintu (https://www.instagram.com/p/BVcVajKhLCR/) dan lantai (https://www.instagram.com/p/BWWao0aBvYl/) kereta ni kira² 3 tahun dulu. Tapi kali ni saya nak cuba guna flashband pulak sebab nak jimatkan kos. Dulu guna STP untuk cover 4 pintu, lantai depan & penumpang belakang, kosnya kalau tak silap dalam RM800 lebih.
② – Ini bumbung #vivaturbo saya yang dah dipasang dengan flashband sebagai bahan soundproof. Tapi di sini saya gunakan flashband jenis putih, sebab dah terbeli banyak, pakai sajalah.
Untuk keseluruhan bumbung Viva ini, saya gunakan kira² 3 gelung flashband bersaiz kira² 1½” lebar dan 10 meter panjang, segelung dalam RM16. Ada sedikit lebihan, saya lekatkan dua lapisan pada permukaan bumbung yang lebih luas bagi menambah ketebalan.
Cara untuk memasang flashband sangat mudah, rasanya tak perlu nak beri tutorial, hanya perlu sukat, gunting, tanggalkan lapisan plastik jernih pada bahagian getah pelekat dan lekat terus pada bumbung. Cuma getah daripada flashband tu yang agak leceh nak dibersihkan kalau ada terlekat pada kerusi kereta atau pada baju.
—
Dah berminggu² sekarang ni tiap petang mesti hujan lebat sampai ke malam. Jadi untuk test pemasangan soundproofing ni, saya pun ada pergi jalan² semasa hujan, terutamanya beberapa hari lalu, ada hujan lebat & ribut di bandaraya Kuching sampai banyak pokok tumbang.
Pada pemerhatian saya, soundproof menggunakan flashband ni memang berkesan. Tak ada lagi bunyi air hujan menitik ke atas permukaan besi bumbung. Bunyinya dah kurang, dah kedap, tak bergema lagi macam bunyi tin kosong. Bunyi titisan hujan yang besar & lebat pun kurang, perumpamaannya dulu macam bunyi mengetuk pintu, sekarang macam bunyi mengetuk dinding konkrit.
Cuma bunyi titisan hujan dari cermin kereta saja yang masih kuat, kalau Viva ada acoustic windscreen kan bagus, boleh upgrade lagi .
Mencuba sushi dari kedai LePapa
29 Oktober 2020
Harga Proton X50 dari 79k hingga 103k
27 Oktober 2020