Teknik semai benih sayuran
Jumaat, 26 Julai 2019, 6:51 pm0
Sebelum ini saya dah cuba beberapa cara untuk menyemai benih sayuran daun hijau, antaranya menyemai dalam dulang semaian (seedling tray) menggunakan tanah campur, menyemai menggunakan span yang dipotong kiub 1”, ataupun menabur terus ke dalam kotak tanaman.
Menyemai dalam dulang semaian menggunakan tanah campur sebagai media semaian adalah cara paling biasa digunakan, tapi ketika mahu memindah tumbuhan ke kotak tanaman atau batas, media semaian tidak dapat digunakan semula, ia ditanam sekali ke tanah.
Semaian menggunakan span, semasa memindahkan tumbuhan ke tanah, akar pokok akan putus semasa dikeluarkan daripada span. Jika tidak mahu mengeluarkannya daripada span, kena tanam dengan kiub span itu sekali, dan span itu tidak dapat digunakan lagi.
Menabur terus ke atas tanah pula lain cabarannya. Kelembapan tanah mesti dikekalkan, dan jika terlupa untuk menyiram walaupun sehari, tanaman akan jadi kering dan mati. Dan apabila tanah menjadi kering, kotak tanaman kami akan jadi tempat burung pipit main tanah.
① – Ini cara terbaru yang saya cuba. Dulang semaian diisi dengan hidroton, diletakkan dalam dulang but kereta (car boot tray), kemudian diisi dengan air. Boot tray ini adalah yang saya gunakan untuk set akuaponik dalam rumah sebelum ini, jadi ia telah ditebuk lubang untuk menetapkan kedalaman air yang ditakung. Sebaiknya paras air dalam boot tray adalah suku atau setengah daripada kedalaman tray tersebut.
Benih tumbuhan pula ditabur sahaja ke atas hidroton. Lebih mudah dan cepat berbanding menggunakan tanah campuran ataupun span, di mana biji benih kena dimasukkan satu persatu ke dalam setiap lubang semaian.
Dalam 2 ke 3 hari pertama, hidroton dan dulang semaian mesti disembur dengan air supaya benih mendapat kelembapan untuk bercambah. Apabila benih sudah mempunyai akar yang menyentuh air dalam boot tray, tidak perlu lagi disiram, dan dengan itu memudahkan lagi kerja, terlupa menyiram pun tak apa .
Jika dilihat dalam gambar di atas, ini adalah selepas 2 minggu benih disemai, anak benih di dalam dulang semaian yang kecil (bahagian atas) adalah bong kim pak (sayur salad kampung ataupun lettuce). Di bawah, sayur yang masih kecil pula adalah choy sum (sawi hijau).
② – Sayur salad telah pun saya pindah ke kotak tanaman semasa umur tanaman 14 hari. Gambar ini pula adalah selepas 18 hari, dapat dilihat daun anak choy sum sudah mula membesar, dan sesuai untuk dipindahkan ke tanah.
Saya dapati sayur salad tumbuh dengan lebih cepat berbanding sawi. Ada kemungkinan benih choy sum ini sudah lama atau rendah kualitinya kerana setelah dua minggu disemai, kebanyakkan anak sayur daunnya masih lagi kecil, hanya memiliki daun kotiledon (daun dari dalam biji benih) dan belum lagi tumbuh daun sebenar.
Tips: Hanya pindah anak sayur yang sudah mempunyai daun sebenar dan bersaiz besar, anak sayur yang bersaiz kecil berkemungkinan akan mati selepas dipindah ke tanah.
③ – Ini kotak tanaman sayuran kami, diisi dengan campuran tanah merah (top soil), tanah hitam (gambut) dan pasir dengan kadar lebih kurang 2:2:1.
Dengan menyemai menggunakan hidroton dalam air, anak sayur mudah untuk dipindahkan ke tanah. Akar tanaman tidak mudah rosak semasa dikeluarkan daripada hidroton dan hidroton dapat digunakan semula. Kelebihan ini yang saya mahukan dalam mempraktikkan teknik ini.
Baja yang saya gunakan ialah baja cecair yang diperbuat daripada baja butir NPK tapi saya tidak ingat berapa nisbah NPKnya. Cara membuat baja ini akan saya kongsi pada masa akan datang, buat masa sekarang saya masih lagi mengkaji keberkesanan teknik membuat baja cecair seperti ini.
④ – Benih bong kim pak, kalau tak silap saya beli benih ini sama ada di Samarahan atau Asajaya. Pada mulanya saya cuba Google macam mana rupa sayur bong kim pak, tapi langsung tiada hasil, yang paling dekat adalah ‘bong kim pek’, mungkin sayur yang sama cuma sebutan berbeza, entahlah tak pasti jugak, saya tak tau sakap sina .
—
Ikuti Instagram dan Facebook untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru blog ini.
Pin this image:
Dashcam Drive #4 – Sematan → Telok Melano
2 Ogos 2019
Sedikit kemaskini pagar reban ayam kampung
19 Julai 2019