Playlist MyTV untuk smart TV berserta intisari rancangan bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Dashcam Drive #4 - Sematan → Telok Melano

Jumaat, 2 Ogos 2019, 6:10 pm0

Dashcam drive ialah siri video rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain, dengan tambahan video navigasi GPS di dalamnya. Tempat tumpuan video dashcam drive ini adalah bandar² di Sarawak, sebab saya nak tunjukkan tempat² di dalam Sarawak kepada penonton global. Tempat² lain mungkin akan disertakan sekali pada masa akan datang, seperti Sabah, Brunei atau Kalimantan.

Tiga video pertama saya buat 10 bulan yang lalu, baru sekarang dapat buat video seterusnya, selepas saya mendapatkan dashcam yang baru (yang lama dah rosak). Sebelum ini saya muat naik di Facebook, sebab Youtube menyekat video tersebut disebabkan audio mengandungi lagu² berhakcipta (audio daripada radio).

Telok Melano adalah kampung yang berada di penghujung negeri Sarawak. Laluan Sematan – Telok Melano adalah pakej pertama dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Ketika jalan ini dibuka kepada umum pada 26 Januari awal tahun ini, ramai orang telah datang melawat, dan kami tidak berapa gemar untuk bersesak² melawat pantai di Telok Melano. Sebab itu kami pilih minggu lalu untuk pergi ke sana, sambil membuat rakaman dashcam drive.

Kualiti jalanraya Pan Borneo Sematan – Telok Melano pada pendapat saya sangat baik, kerana kurang selekoh² tajam yang membahayakan, di mana pemandu mesti memperlahankan kenderaan supaya tidak terbabas, selain bahu jalan yang cukup lebar. Ini membolehkan kenderaan dipandu dengan lebih laju dan cepat sampai ke destinasi. Saya hanya memandu dalam 90km/j dan seperti dilihat dalam video, kenderaan lain semuanya jauh lebih laju daripada kami. Walaupun saya banyak dengar orang sekeliling merungut pasal jalan Pan Borneo – jalan rosak la, tak pandai buat la, tapi itu semua rungutan pasal jalan yang masih dalam pembinaan. Lebih baik kita komen pasal jalan yang dah siap.

Pantai Telok Melano pada pendapat saya, sama seperti pantai umum yang lain. Semasa kami tiba, ramai pengunjung telah tiba, ada yang naik bas, mungkin persatuan atau kelab dari kampung² mengadakan sukaneka. Banyak gerai makanan dan juga aktiviti di pantai seperti memandu ATV. Namun aktiviti memandu ATV di sepanjang pantai ini agak mengganggu kerana bunyi motor yang bising. Kami tak dapat duduk lama di tepi pantai, sebab rasa macam duduk kat tepi jalanraya dengan motosikal yang lalu lalang.

Oleh itu, kami pun beralih ke AskSuri Beach Guesthouse & Cafe. Pantainya lebih tenang, dan kemudahannya lebih bagus daripada homestay di Kpg Telok Melano. Di kawasan homestay ada tempat untuk panggang² BBQ, dan ada juga tapak untuk berkhemah berdekatan pantai. Lain kali kalau nak bermalam di Telok Melano, kami pasti akan memilih homestay AskSuri ini. Nak tahu bagaimana rupa tempatnya, tonton video dashcam drive ini sehingga habis.

Nota: bercakap pasal berjalan² ke tempat² menarik, Evo Enduro 2019 sudah pun bermula semalam. Bagi yang tak tahu, Evo Enduro adalah aktiviti memandu santai yang dianjurkan oleh EvoMalaysia. Ia disertai oleh pemilik kenderaan terpilih, selalunya kenderaan premium atau berprestasi tinggi. Tahun ini perjalanan mereka adalah dari KL ke Phuket. Saya terfikir nak buat aktiviti macam ni jugak, tapi untuk di Malaysia Timur, kita panggil ‘Borneo Enduro’, pandu kereta masing², tak kira model apa, Kancil pun boleh. Kita pandu dari Kuching hingga ke Sabah melalui jalan pesisir, pusing Sabah, balik semula ke Kuching melalui jalan Pan Borneo, kalau jalan ke Kapit dah siap, boleh singgah Kapit sekejap. Boleh jadi lebih epik daripada Evo Enduro 😆.

Ikuti Instagram dan Facebook untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru blog ini.

Tulis komen: