Ulasan tayar Goodyear GPS2

Jumaat, 6 September 2019, 5:30 pm152

Sedikit latar belakang berkenaan sejarah penggunaan tayar pada kereta Perodua Viva saya ini. Tayar asal yang datang bersama kereta ini ialah Silverstone Powerblitz. Saiz asal ialah 155/70 12 inci menggunakan rim besi.

Saya telah menukar keseluruhan tayar satu kali semasa di Penang. Mula² dua biji tayar ditukar dahulu, harganya RM130 sebiji, pada Jun 2015, selepas 3 tahun 7 bulan (30440 km) penggunaan. Kemudian dua biji lagi ditukar pada Februari 2016, tapi pada harga RM120 sebiji, selepas 4 tahun 3 bulan (36914 km). Kesemuanya masih menggunakan jenama Silverstone Powerblitz.

Prestasi tayar ini OK² saja, tapi apabila selepas 3 tahun lebih, getah tayar menjadi ‘keras’, yang mana boleh diperhatikan jika anda mengepam tayar, walaupun telah mencapai tekanan yang optimum (biasanya saya mengepam tayar² ini pada takanan yang agak tinggi iaitu 35 PSI), tayar masih nampak kurang angin. Selain itu, prestasi cengkaman terutamanya pada jalan yang basah juga berkurangan.

Oleh itu, saya mahu mencuba menggunakan jenama lain untuk merasai perbezaan antara jenama² tayar ini. Saya masih mengekalkan saiz rim 12 inci dengan rim besi kerana ia masih lagi OK. Lagipun mudah untuk mencari tayar yang sesuai dengan rim ini pada harga yang rendah. Antara jenama yang saya mahu pilih ialah Bridgestone Ecopia, tapi saya memilih Goodyear GPS2 kerana berdasarkan maklumbalas yang saya dapati di blog dan forum, prestasinya agak baik dan harganya lagi rendah berbanding Bridgestone.

① – Beberapa minggu lalu, kebetulan salah satu tayar telah pun pancit, jadi saya membuat keputusan untuk menukar terus keempat² tayar. Umur tayar² ini pun sudah menjangkau 3 tahun 6 bulan ke 4 tahun 2 bulan, dengan perbatuan (mileage) kira² 102200 km.

② – Saya menukar tayar di Syn Cheong Hin Tire & Batteries. Untuk tayar Goodyear GPS2 saya membayar lebih sedikit daripada Silverstone iaitu RM150 sebiji. Servis di bengkel ini baik dan cepat, tiap kali ada masalah tayar seperti pancit, saya mesti ke kedai ini, sejak saya masih memandu kereta Kancil kakak saya lebih 10 tahun dulu. Imbangan tayar (tyre balancing) yang dibuat memang bagus, tak ada rasa gegar walaupun halaju 100km/j.

③ – Apa yang menarik berkenaan tayar Goodyear GPS2 ini ialah ia sungguh senyap. Saya dapat dengar perbezaannya apabila memandu pada halaju tinggi di jalan² yang biasa saya lalu seperti di jalan Matang-Stapok melalui Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud (Jambatan Emart). Saya sangat berpuas hati dengan kualiti tayar ini yang menambahkan keselesaan pemanduan dengan kurangnya bunyi tayar.

④ – Betul, tayar baru memang senyap, kita tengok nanti 3-4 tahun lagi, macam mana prestasi tayar ini. Harapnya dapat menggunakan tayar Goodyear ini lebih lama daripada Silverstone, boleh pakai sampai 5 tahun 😁.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru blog ini.

Tulis komen: