Eja lain, sebut lain

Jumaat, 30 Ogos 2019, 5:30 pm207

Saya ingin mengulas sedikit pasal isu tulisan jawi yang hangat diperkatakan beberapa minggu lepas. Ini adalah pandangan peribadi saya, dan tiada salah atau betul pada hujah ini, ia hanya pendapat saya.

Tulisan jawi

Tiada masalah untuk kita orang Malaysia untuk mempelajari tulisan jawi. Ia adalah tulisan yang menggunakan huruf² dari bahasa Arab yang diadaptasi kepada perkataan tempatan. Sekiranya anda bukan Islam, belajar tulisan jawi tidak akan menjadikan anda orang Islam, tiada ilmu agama yang diajar, anda hanya belajar mengenal huruf² dan sebutannya, sama macam anda belajar tulisan Korea contohnya, bagaimana anda mengenali huruf & bunyi sebutan.

Dengan tulisan jawi, anda juga boleh menulis dalam bahasa bukan Melayu, contohnya dalam bahasa Iban:

وداح مكاي نوان؟

Ataupun bahasa Bidayuh:

مبح اموك ماءن؟

Namun, masalah tulisan jawi adalah ia kekurangan huruf untuk membunyikan sesetengah sebutan yang khusus untuk orang Malaysia, terutamanya sebutan huruf E – é taling dan e pepet

É taling – bunyi ‘ey’ seperti dalam perkataan ‘enak’, ‘beza’ dan ‘sate’.

E pepet – bunyi ‘e’ seperti dalam perkataan ‘engkau’, ‘berat’ dan ‘nasionalisme’.

Kalau kita eja ‘tembak’ dalam jawi, sebutannya menjadi ‘timbak’. ‘Enak’ jadi ‘inak’. Sebab huruf ‘I’ (ي) digunakan untuk bunyi sebutan é taling. Ia juga antara sebab kenapa orang sekarang tertanya² kenapa pagar nak makan padi? (Sebenarnya burung pegar yang nak makan padi tu).

Selain itu, tulisan jawi juga tiada huruf untuk sebutan ‘o’, contohnya sekarang banyak yang panggil kawan ‘bro’, kalau dieja dalam jawi, dibaca menjadi ‘bru’. Dah lain maksudnya.

Dan mungkin disebabkan oleh kurangnya penggunaan tulisan jawi, antara kelemahan lain tulisan ini yang saya perhatikan ialah ia sukar untuk digunakan untuk tulisan singkat (short form) yang banyak digunakan di media² zaman sekarang.

Contoh, cuba tulis ayat ini dalam short form tulisan jawi:

‘klo bleh kta jmpa skg, sok aq bz’

(tulisan zaman sms & chat)

Saya tidak kata tulisan jawi dah tidak relevan dan tak patut digunakan lagi, tapi ia adalah tulisan yang sudah lama dipakai dan ada tulisan baru yang menggantikannya, yang lebih sesuai dengan zaman moden sekarang – tulisan rumi.

Saya melihat tulisan jawi sebagai satu khazanah klasik yang patut dijaga di dalam muzium, sebagai benda yang menarik untuk dimiliki atau dipelajari (nice to have), tapi tidak dapat digunakan untuk setiap kerja seharian. Ia umpama seterika arang, lampu minyak tanah dan batu giling – semuanya barang lama telah digantikan dengan perkakas elektrik yang lebih efektif, tapi barangan lama tersebut menarik untuk dimiliki (nice to have).

Tulisan rumi

Akan tetapi, tulisan rumi juga tidak kurang daripada beberapa kelemahannya.

Contohnya seperti yang saya terangkan di atas, sebutan é taling dan e pepet. Sebaiknya tulisan bahasa Melayu dinaiktaraf dengan memasukkan huruf É yang membezakan sebutan huruf E – ‘énak’, ‘béza’, ‘saté’.

Dialek² tempatan yang berbeza² juga sebaiknya memiliki huruf² yang dapat melambangkan sebutan yang berbeza mengikut tempat, tapi menggunakan huruf yang sama. Contohnya, huruf R di sesetengah tempat menyebut menggunakan huruf gh- (غ) – ‘orang’ disebut ‘oghang’. Ada juga huruf R pada hujung perkataan menjadi huruf Q – ‘telur’ disebut ‘teloq’. Huruf L pada hujung perkataan ada yang jadi huruf I – ‘sambal’ disebut ‘sambai’. Banyak lagi contoh sebutan dialek yang berbeza² di seluruh Malaysia.

Apa yang saya mahu tekankan ialah kita kena kemaskinikan (update) tulisan rumi bahasa Melayu untuk menyelesaikan beberapa kelemahan dalam tulisan ini. Pihak DBP dan Kementerian Pendidikan mungkin boleh fikirkan dan ambil tindakan terhadap isu ini.

Nama tempat & makanan di Sarawak

Beralih kepada isu eja lain, sebut lain. Isu pertama adalah khusus kepada beberapa nama tempat dan makanan di Sarawak. Apabila dieja dalam tulisan rumi bahasa Melayu, sebutannya menjadi lain daripada apa yang majoriti orang Sarawak sebut.

Contohnya, kebanyakan perkataan orang Sarawak sebut diakhiri dengan huruf K, seperti ‘tanyak’, ‘kelapak’, ‘duak’. Tapi nama tempat tidak dieja dengan diakhiri huruf K, seperti Bau (disebut ‘Bauk’) dan Semenggoh (disebut ‘Semenggok’).

Ada nama tempat yang dieja lain walaupun dekat² bunyinya, seperti Batu Kawah (asalnya ‘Batu Kawa’) dan Sungai Buluh (asalnya ‘Sungai Bulu’, dekat Jambatan Batang Sadong).

Untuk makanan pula, makanan popular di Sarawak iaitu mi kolok, dieja ‘mi kolo’, yang menyebabkan orang luar yang datang menyebut nama makanan ini secara salah. Sebutan yang betul adalah ‘mi kolok’.

Nama negeri ni pun sebenarnya kurang tepat. Sebutan orang tempatan ialah ‘Serawak’, tapi dieja ‘Sarawak’. Tapi kalau dilihat kepada nama² tempat dalam bahagian barat Sarawak, banyak yang bermula dengan se-, seperti Sematan, Sempadi, Semariang, Serian, Sebangan, Sebuyau, ‘Seburan’, ’Semanggang’, ‘Semunjan’, ‘Serikei’ 😆.

OK, cukup berkenaan ejaan nama tempat di Sarawak. Sekarang saya nak sentuh pula pasal ejaan dan sebutan simbol.

Simbol

Simbol adalah satu huruf/abjad yang melambangkan sesuatu. Kebanyakan simbol adalah berkenaan dengan matematik. Contohnya simbol punca kuasa dua = √, simbol darjah = º, dan simbol peratus = %.

Simbol hanya satu huruf/abjad, dan ia disebut menggunakan nama simbol itu. Contoh, 15º = ‘lima belas darjah’, 20% = ‘dua puluh peratus’.

Simbol matawang adalah salah satu contoh simbol, dan ia disebut menggunakan nama simbol tersebut. $10 disebut ‘sepuluh dollar’, bukannya ‘dollar sepuluh’. Matawang kita, Ringgit Malaysia, walaupun kependekkannya ialah RM, tapi simbol RM disebut ‘ringgit’ sahaja. Oleh itu, dalam tulisan RM50, RM itu ialah simbol, bukan lagi kependekkan, jadi cara bacanya ialah ‘lima puluh ringgit’, bukannya ‘ringgit malaysia lima puluh’. Ini kesilapan yang ramai orang buat sehinggakan menteri pun ada yang salah menyebut simbol RM.

Sama juga dengan sebutan simbol ukuran seperti kilometer (km), kilogram (kg), darjah selsius (ºC), megabit per saat (Mbps), gigabait (GB) dan milliamp hour (mAh). Apabila membaca nombor dan simbol ini, mesti disebut penuh. 20GB disebut ‘dua puluh gigabait’, bukannya ‘dua puluh ji-bi’ (jibby mana pulak ni). 20000 mAh disebut ‘dua puluh ribu milliamp hour’, bukannya ‘dua puluh ribu mah’ (ada mah pulak ni). 55kg disebut ‘lima puluh lima kilogram’, bukannya ‘lima puluh lima ke-ji’ (keji betullah nak sebut panjang² pun malas 😤).

Letak pena

Cukuplah merapu untuk minggu ini, semoga dapat manfaat & mulalah berubah untuk jadi lebih bagus dari sebelumnya. Selamat ulang tahun kemerdekaan Malaya ke-62 dan Sabah yang ke-56.

Rujukan: Klik Web DBP
Gambar daripada DBP & Wikipedia.

Ikuti Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru blog ini.

Tulis komen: