Melihat Myvi karan secara lebih dekat
Jumaat, 24 Mei 2024, 10:20 pm0
Prototaip EV pertama #Perodua, EMO-1 di #MalaysiaAutoshow2024 di MAEPS Serdang.
Maklumat lanjut ada pada video daripada Paultan ⁽¹⁾. Di sini saya nak kongsikan beberapa perkara yang saya perhatikan semasa berkunjung ke pameran ini.
Konsol tengah dah macam #kereta premium, tak ada handbrake handle, dah pakai parking brake elektronik. Tuil gear pun dah ditukar kepada jenis rotary, yang saya tak berapa gemar sebab kurang mesra pengguna.
Kapasiti penumpang adalah 4 orang, kerusi belakang ada arm rest & 2 cup holder.
Secara asasnya, tenaga elektrik datang dari pek bateri (kanan), bersambung dengan beberapa controller (tengah kanan). Tugas controller adalah mengawal operasi mengecas atau menggunapakai tenaga bateri.
Kemudian tenaga elektrik ini dialirkan ke motor (tengah kiri) yang bersambung dengan tayar untuk menggerakkan kenderaan. Keupayaan motor ini adalah 120 kW (160 hp), 315 Nm tork, dan seberat 95 kg.
Juga ada controller pada motor untuk mengawal berapa banyak tenaga digunakan untuk memacu tayar & untuk mengecas kembali bateri menerusi regenerative braking.
Di kiri sekali adalah radiator, yang berfungsi dalam sistem penyejukan motor & bateri. Pam elektrik mengedarkan bendalir penyejuk menerusi hos radiator yang bersambung pada motor serta rangka & lantai pek bateri, bagi mengumpulkan haba yang dihasilkan & membebaskannya pada teras radiator.
Apabila dicas menggunakan AC charger berkuasa 11 kW mengambil masa selama 5 jam 15 saat (anggaran) untuk penuh. Namun apabila menggunakan DC charger berkuasa 50 kW hanya memerlukan 1 jam 10 saat (anggaran).
Saya difahamkan Perodua membangunkan sendiri sistem EV ini untuk model sedia ada, tak menunggu model daripada Toyota atau Daihatsu. Ini perkembangan baik, dengan adanya R&D sendiri, Perodua mampu menguasai teknologi ini & mengaplikasikannya pada pasaran tempatan, berbanding hanya rebadge model import, yang selalunya ciri² yang ditawarkan telah disesuaikan untuk pasaran luar negara. Bermaksud, Perodua faham keadaan jalan, tingkah laku pemandu & kemahuan pengguna di Malaysia, jadi mereka boleh tambah-ubah ciri² yang sesuai.
Harapnya nanti ada rezeki lebih untuk mencuba produk tempatan ini .