Mengelak jem di KL hujung minggu ni
Sabtu, 25 Oktober 2025, 11:10 pm
Semua aktiviti hari ni dapat dilaksanakan kat kedai² dalam lingkungan 3km dari #rumah.
Banyak event hujung minggu ni. Di KL ada persidangan ASEAN, banyak jalan kena tutup. Ada banyak konsert di sekitar KL seperti konsert Spider unplugged, dan juga konsert #트와이스 kat stadium hoki. Ada juga event UTP Alumni Homecoming tapi kali ni saya tak dapat datang, sebab sibuk dengan aktiviti² sendiri seperti kat bawah:

Segala corak watermark & debu dah melekat kat permukaan cat kereta. Maka pergilah mencuci kat satu car wash berdekatan rumah, tepi jalan bertentangan dengan Petronas. Cuci cara manual, pakej biasa cuci luar vakum dalam, tak ada water wax bagai. Harga cuma RM10, namun puas hati, cepat & bersih, dan kain lap yang mereka pakai tak berbau macam sesetengah car wash.

Bengkel Volks Auto ni specialize kereta continental dalam VW Group. Terletak dalam jarak kurang 3 km dari rumah saya.
Kali terakhir saya service #PoloSedan guna minyak Rheinol kat satu kedai Toyo Tires ⁽¹⁾, kali ni kembali guna Castrol Magnatec 10W-40. Minyak ATF pula jenama Febi Bilstein. Sekali dengan oil filter, ATF filter, ATF gasket dan labour charge, jumlah kos ialah RM1089.
Secara amnya servis bengkel ni memuaskan, ada ruang menunggu untuk customer kat tingkat atas. Saya kena tunggu dalam 2 jam lebih sebab minyak ATF nak kena order, mereka tak simpan stok. Sempatlah mendengar podcast Careta tentang bisnes stesen minyak yang terkesan dengan Budi95 ⁽²⁾.
Dalam gambar atas tu adalah bos bengkel ni, ada borak² sikit pasal driving feel kereta tu. Dia dapati steering rack mungkin tak adjust dengan betul, bila belok atau U-turn, steering tu tak balas balik. Mungkin next time akan pergi betulkan isu dengan steering ni, sekali dengan isu suspension yang dah bunyi² seperti yang saya cerita sebelum ni ⁽³⁾.

Kali terakhir saya ke satu kedai gunting rambut kat Lotus’s Bukit Puchong. Di sekitar sini ada beberapa kedai gunting rambut Team Shauk. Pekerjanya orang Bangladesh berdasarkan rupa & bunyi percakapan mereka. Kat sini harganya RM15, sedikit rendah berbanding yang kat Lotus’s, dah naik ke RM18.
Seperti biasa kalau potong rambut pendek biasa tepi & atas, tukang akan tanya sama ada nak potong sideburn. Terfikir pula, adakah sesetengah orang tak nak potong sideburn kalau potong pendek biasa, sampai tukang kena tanya setiap customer? 

Semalam semasa nak balik rumah dari ofis, plan nak singgah satu kedai Mr. DIY kat Putrajaya untuk cari barang² repair rumah. Tapi sebab dah tersalah masuk simpang, dah jadi lewat untuk balik rumah, nanti nak hadap jem depan IOI City Mall, perut dah kelaparan, tak nak lewat sangat sampai rumah.
Lepas makan malam semalam, pergi check kat Google Map lokasi Mr. DIY terdekat, rupa²nya ada satu yang memang betul² dekat dengan rumah. Susah² saja balik dari ofis pergi cari yang jauh, yang dekat rumah tak jumpa pulak
.
⁽¹⁾ https://azwan082.my/2025/05/terjumpa-rim-teddy-bear-pink-/
⁽²⁾ https://youtu.be/Fj5Kv3-hgFw
⁽³⁾ https://azwan082.my/2025/07/patut-la-ramai-tak-pilih-teh-ni/
20 Oktober 2025