Tonton MyTV dilengkapi intisari rancangan pada smart TV bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Merasai sos pedas paling popular di dunia, Sriracha

Jumaat, 16 Ogos 2019, 6:00 pm0

Sos pedas Sriracha 🌶 (sebutan se-ra-cha) mungkin kurang popular di Malaysia, tapi ia adalah produk yang sangat popular di luar negara terutamanya negara barat seperti Amerika, Kanada dan Eropah.

Botol sos pedas ini sangat ikonik, dengan penutup botol warna hijau yang melambangkan kesegaran cili dan botol lutsinar yang menampakkan warna merah sos tersebut. Logo ayam jantan digunakan melambangkan tahun kelahiran David Tran, pengasas syarikat pengeluar sos ini iaitu Huy Fong Food.

Apabila mendengar nama Sriracha, kebanyakan orang akan menganggap sos ini adalah produk Thailand, Vietnam atau Sri Lanka, tapi tidak, ia adalah produk dari Amerika Syarikat.

David Tran adalah warga Amerika berketurunan China-Vietnam, datang ke Amerika semasa perang Vietnam pada tahun 70an. Apabila berada di Amerika ketika itu, beliau mendapati tiada sos pedas yang sesuai dengan citarasa masakan Asia Tenggara, terutamanya phở, iaitu mihun sup Vietnam 🍜. Pada 1980 beliau memulakan syarikat Huy Fong Food dengan mengeluarkan sos pedas Sriracha, yang mana sehingga hari ini, masih kekal dengan resipi, kualiti dan harga seperti ia bermula 39 tahun dahulu.

Antara produk lain Huy Fong Food adalah sos cili bawang putih – kalau kat sini kita panggil sos cili Thailand, yang rasanya agak manis dengan banyak biji cili di dalam sos tersebut. Satu lagi ialah Sambal Oelek, cili giling yang resipinya diperoleh dari Indonesia.

Apa yang menarik, walaupun jualan tahunan mencecah 20 juta botol, bersamaan kira² 60 juta dollar, Hong Fung Food tidak mengeluarkan satu sen pun mengiklan dan memasarkan produk ini, semuanya berpunca daripada buah mulut orang ramai yang telah merasa sos ini. David Tran, seorang yang sangat menghargai produk sos pedasnya, berkata beliau tidak pasti di mana sos ini dijual, dia hanya tahu mereka memiliki 10 pengedar tetap yang mengedarkan sos ini ke lebih serata dunia. Beliau lebih mengutamakan kualiti produk sebelum keuntungan.

Nama Sriracha diambil daripada satu nama tempat di Thailand, iaitu Si Racha. Dan nama syarikat Huy Fong diambil daripada nama bot yang digunakan David Tran berlayar dari Vietnam ke Hong Kong sebelum terbang ke Los Angeles.

Apa yang membuatkan sos ini sangat terkenal adalah pada kualitinya. Cili yang digunakan adalah hanya dari jenis jalapeño merah hibrid (sebutan ha-la-pi-nio), yang diperoleh dari ladang cili, yang juga merupakan pembekal tunggal, tidak jauh dari kilangnya di California. Mereka hanya menggunakan cili segar, dan tidak akan menggunakan cili kering, bagi memastikan kualiti yang tinggi dan konsisten.

Cili segar yang tiba di kilang akan dibasuh, kemudian digiling, dan dicampur dengan bahan pengawet sebelum disimpan dalam tong makanan warna biru maksimum 18 bulan. Apabila tiba masa untuk membotolkan sos ini, ia akan dipam keluar dari tong² tersebut, kemudian dicampur dengan bahan² lain sebelum dipam ke dalam botol secara automatik menggunakan mesin² khusus.

Bahan² lain yang digunakan untuk membuat sos ini adalah gula, cuka, bawang putih, xanthan gum (agen pemekat dan penstabil makanan) dan pengawet makanan (potassium sorbate & sodium bisulfite). Nota: individu yang sensitif kepada bisulfite tidak sesuai mengambil produk ini. Ia juga disahkan kosher oleh Majlis Rabbi California, oleh itu halal untuk orang Muslim.

Saya terjumpa sos ini ada dijual di Everrise Merdeka Plaza, harga sebotol 435ml ialah RM16. Untuk perbandingan, harga dalam dollar Amerika ialah kira² $3 ke $5, bolehlah kena pada harga barangan import. Pada pemerhatian saya, cawangan Everrise di sini banyak mengkhususkan barangan import, mungkin menggantikan Coldstorage di Green Heights Mall yang sudah tutup.

Untuk rasanya pula, saya makan bersama kentang goreng yang dibakar dalam ketuhar, tanpa minyak (jadi kentang bakar? 🤷🏻‍♂️). Awalnya akan dapat merasa sedikit masam cuka, sedikit manis dan aroma cili jalapeño, kemudian barulah rasa pedas datang. Dan rasa pedas ini tidak seperti sos cili biasa yang akan beransur hilang, ia kekal rasa pedas di lidah. Rasanya sama seperti cili cecah yang dibuat sendiri menggunakan cili padi segar yang dicincang atau dikisar, campur dengan limau atau cuka, dan sedikit garam. Agaknya saya pernah merasa sos ini di gerai makan Benteng semasa pasar minggu masih lagi ada di Satok lebih 10 tahun lalu.

Kesimpulannya, sos pedas ini memang pedas, dan pedasnya mengena dengan selera masakan Asia Tenggara. Terfikir pula nak buat sos pedas yang sama tapi menggunakan cili geronong (habanero), sekali kena aroma cili geronong, mungkin ia akan jadi ekstra pedasss?! 🔥

Sumber:

Nak beli Sriracha online? Ada dijual di Lazada – botol 435ml atau botol 740ml.

Ikuti Instagram dan Facebook untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru blog ini.

Pin this image:

Tulis komen: