Playlist MyTV untuk smart TV berserta intisari rancangan bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Cili padi dalam masakan

Jumaat, 13 Disember 2019, 6:00 pm0

Cili padi yang ditanam di dalam polibeg di belakang rumah sewa telah mula menghasilkan buah cili selepas 4 bulan disemai. Kami telah menggunakannya dalam beberapa masakan yang saya akan tunjukkan di bawah.

① – Cili padi hendaklah dituai semasa ia telah berwarna hijau tua seperti ini, supaya dapat disimpan dan digunakan kemudian. Jika dituai apabila telah berwarna merah, hendaklah digunakan terus, sebab kalau disimpan kemungkinan buah cili itu akan cepat menjadi licak atau lembut, berbanding dengan buah yang baru dituai yang lebih keras atau rangup, dan rasa pedasnya pun lebih kuat.

② – Antara masakan yang kami buat menggunakan cili padi. Masakan makanan laut (seafood) sangat sesuai dengan cili padi sebab rasa pedasnya yang menghilangkan rasa hanyir sesetengah makanan laut.

Ini adalah sejenis kepah yang dipanggil suduk oleh orang Kuching. Pada bulan Disember ini, suduk banyak diperoleh di pantai Santubong dan Bako. Kami membeli suduk ini di pasar Kampung Buntal, yang berdekatan dengan Buntal Esplanade, salah satu tempat tumpuan pelancong di kawasan Santubong.

Isi suduk ini sungguh banyak, kalau makan isinya sekali suap, memang penuh mulut. Ambil masa sikit nak mengunyah kemudian menelan, dan juga akan cepat rasa kenyang, sebab isinya yang penuh.

③ – Ini pula sos atau sambal pencicah yang dibuat hanya menggunakan cili padi. Untuk membuat pencicah ini, caranya dengan mengenalpasti rasa² yang ingin dimasukkan bersama, kemudian cari bahan yang mewakili rasa tersebut.

Contohnya, untuk pencicah ini, saya mahu ia ada rasa pedas, masin, dan masam. Untuk rasa pedas, sudah tentu masukkan cili padi. Cili padi ini ditumbuk terlebih dahulu, biar bijinya hancur sedikit supaya rasa pedas itu keluar. Untuk rasa masin, saya gunakan kicap. Rasa masam pula saya gunakan buah limau nipis. Tapi air limau ada sedikit rasa manis limau, tak berapa mengena dengan selera, jadi saya gantikan dengan cuka.

Pencicah ini pun sesuai makan dengan makanan laut seperti suduk di atas.

④ – Dan ini adalah kegemaran saya, omelette ataupun telur goreng, sebab ia senang dan cepat dibuat. Pukul beberapa biji telur, kemudian masukkan bahan² campuran lain seperti cili, sayur, bawang atau daun kucai, kemudian bubuh sedikit perasa seperti garam dan lada, dan goreng atas kuali (frying pan).

Protein daripada telur, vitamin dan serat daripada sayuran, ini adalah antara makanan lengkap yang paling mudah disediakan.

Cili padi vs geronong

Rasa pedas cili padi agak berbeza dengan cili geronong. Kalau cili padi, pedasnya menggigit lidah, tapi kesan pedas tidak lama, dan aroma pedas juga kurang. Cili geronong pula pedasnya sangat kuat dan lama kesannya pada lidah. Aroma pedasnya juga kuat, sehinggakan ada yang biasa makan pedas pun akan terdiam selepas merasa geronong 🔥.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan penanaman cili padi dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: