Tanaman cili padi — kawasan tanaman

Jumaat, 6 Disember 2019, 6:00 pm259

Anak pokok cili yang berumur 10 minggu, selepas dipindahkan ke polibag, sekarang akan dialihkan ke kawasan penanaman.

① – Kawasan di belakang rumah sewa kami ini ditutup dengan menggunakan plastik hitam. Plastik ini saya beli dari Lazada, kata kunci untuk produk ini ialah pond liner. Ia juga lebihan material tidak terpakai daripada sistem DWC akuaponik yang lalu. Saiz plastik ini ialah 3m x 5m.

Saya ada pergi ke kedai hardware bertanya ada tak dijual pond liner, tapi kebanyakan kedai tidak tahu apa itu pond liner, dan mereka ingat ia seperti kanvas (tarpaulin). Plastik ini lebih baik daripada kanvas kerana tahan sinaran UV daripada matahari.

② – Sini ditunjukkan pokok² cili yang telah dipindahkan ke atas plastik di kawasan penanaman. Sebenarnya saya sediakan kawasan ini sebelum kawasan kedua yang ditunjukkan di gambar pertama, sebab itu masih ada tempat jemur barang di bahagian atas gambar kedua ini.

Di sini terdapat 18 pokok cili, manakala di kawasan kedua terdapat 16 pokok.

③ – Bagi mengelakkan pokok cili tumbang akibat ditiup angin, memandangkan musim hujan dan berangin sudah tiba, saya memasang penyokong menggunakan tiang paip dan tali wayar merentasi setiap pokok cili.

④ – Paip² PVC terpakai ini, panjangnya 4 kaki dan ditanam sedalam 1 kaki, di hujung kawasan penanaman. Kemudian tali wayar elektrik terpakai diikat pada tiang paip melalui setiap pokok cili dan pokok² tersebut diikat pada tali wayar ini.

Tali wayar elektrik ini pun bahan terpakai yang saya guna semula, dulunya digunakan untuk lampu luar rumah, tapi wayar konduktornya dah seperti hancur, tak dapat mengalirkan elektrik lagi.

⑤ – Pokok cili diikat pada tali wayar menggunakan tali nilon. Ia tidak diikat kuat atau diikat mati supaya dapat diubah suai apabila pokok cili membesar.

Penyiraman dilakukan sekali sehari secara manual, dan tidak disiram jika hari hujan. Pembajaan pula dengan menggunakan baja NPK yang diperam, dibancuh dengan air hujan yang dikumpul, tapi kadarannya tidak tetap. Ada kira² 1/8 ke 1/6 daripada botol 1.5L untuk baja NPK peram dilarutkan ke dalam satu tong air siraman. Siraman air baja dibuat seminggu sekali.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan penanaman cili dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: