Tanaman cili padi — tuaian dan kawalan serangga

Jumaat, 20 Disember 2019, 6:00 pm222

Minggu lalu, sebelum pokok² cili ini disembur dengan racun serangga, saya telah tuai kesemua buah cili dan melakukan beberapa penyelenggaraan ladang.

① ② – Antara pokok cili yang lebat buahnya. Kebanyakannya hanya menghasilkan buah cili berwarna hijau. Hanya sedikit, kira² dalam 3-4 buah cili yang bertukar ke warna merah.

③ – Selain menuai buah cili, saya juga membuang rumput rumpai yang tumbuh di dalam polibeg. Kerja ini lebih mudah sekarang sebab dapat fokus untuk membuang rumput yang berada dalam polibeg sahaja, tidak perlu merumput keseluruhan batas tanaman.

Di samping itu, saya juga membuang kesemua daun dan tunas air dari batang pokok. Tunas air adalah tunas kecil yang tumbuh di bawah cabang Y utama pada batang pokok. Di dalam gambar dapat dilihat batang pokok cili ini langsung tiada daun dan hanya pada selepas cabang utama ia berdaun.

Tujuan langkah ini dibuat adalah supaya pokok menggunakan nutrien yang diserap ke pertumbuhan buah dan cabang atas, yang mana cabang atas menghasilkan buah cili yang lebih baik kualitinya.

④ – Selepas menuai, saya sembur kesemua pokok dengan racun serangga. Langkah ini mesti dilakukan supaya kita mendapat hasil tanaman yang maksimum – kurang serangga perosak bermakna kurang risiko buah cili akan rosak.

Serangga perosak yang ada pada daun pokok cili ini adalah jenis aphid. Ia melekat dan bersarang di bawah daun dan merosakkan daun tersebut. Selain aphid, semut juga banyak naik ke atas pokok cili, sebab ia tertarik dengan telur aphid yang bersarang di daun.

Cara semburan yang saya lakukan adalah dengan menggunakan tetapan semburan paling kecil seakan kabus, dan disembur ke bawah daun di mana aphid berada. Sembur mestilah sehingga daun pokok basah kuyup, barulah berkesan. Buah² cili ini hanya boleh dikutip seminggu selepas disembur racun.

Selain daripada itu, penggunaan plastik hitam sebagai pelapik tanaman dan polibeg, ada membantu dalam mencegah serangga perosak. Sebelum ini, tanaman cili ataupun apa² tanaman berbuah sering ditebuk oleh lalat buah, menyebabkan buah menjadi buruk. Kali ini, langsung tiada lalat buah yang menyerang buah cili ini.

⑥ – Banyak ini saja hasil tuaian cili padi ini. Lupa saya nak timbang berapa berat, tapi kalau ikut rasa, mungkin beratnya dalam 100-200 gram 🤨.

Sekarang hanya perlu teruskan rutin penjagaan tanaman dan tuaian. Pembajaan masih lagi menggunakan baja NPK yang diperam, tuaian mungkin dua minggu sekali, atau bergantung kepada berapa banyak buah yang terhasil, dan semburan racun serangga akan dilakukan selepas tuaian.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan penanaman cili dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: