Formula E bakal dianjurkan di Kuching?

Jumaat, 5 Julai 2019, 6:00 pm94

Apa itu Formula E?

Credit: The Verge.

Bagi yang tak mengenali apa itu Formula E, mungkin pernah melihat perlumbaan ini di TV1 atau RTM Sports. Ia adalah perlumbaan kereta elektrik, yang tergolong dalam siri perlumbaan Formula (sama seperti F1). Kecil² dulu kalau pernah main kereta Dash, lebih kurang macam tu lah kereta dia, guna bateri dan motor (dinamo), tapi yang ni adalah kereta sebenar yang dipandu manusia.

Formula E mula diperkenalkan pada tahun 2014. Pada masa itu, di Malaysia kereta² elektrik masih belum dikenali ramai, tapi di US & Eropah, kereta² elektrik Tesla sudah banyak digunakan. Sekitar tahun 2016 baru ada kereta Tesla datang Malaysia & apabila media² permotoran mula mencuba kereta² ini, ramai yang kagum dengan prestasi dan kesenyapan kereta² elektrik.

Berbalik kepada FE, dulu kapasiti bateri kereta elektrik yang digunakan dalam perlumbaan agak kecil, jadi satu kereta dengan bateri caj penuh hanya dapat berlumba selama lebih kurang 25 minit. Oleh itu, pelumba terpaksa menukar kepada kereta kedua pada pit-stop untuk menghabiskan perlumbaan.

Jika anda biasa menonton F1, fokus pada perlumbaan ini adalah pada kecekapan pemandu mengendali jentera dan memandu sepantas mungkin. Pada pit-stop, pasukan² terlibat bertanding siapa yang paling cepat melakukan kerja² pit-stop seperti menukar tayar, mengisi minyak dan sebagainya.

Tapi dalam FE, fokus utamanya ialah pada pengurusan tenaga bateri. Jika pemandu memandu terlalu laju atau menggunakan terlalu banyak tenaga, bateri akan cepat habis dan sesetengah pelumba gagal mengabiskan perlumbaan kerana kereta tersadai habis bateri.

Apa beza Formula E dan F1?

Beberapa perbezaan ketara antara FE dan F1, terutamanya jenis enjin yang digunakan – enjin elektrik vs enjin pembakaran dalaman (internal combustion). F1 dilangsungkan di trek perlumbaan formal, manakala FE diadakan di jalan² raya dalam bandar. Dulu FE menggunakan format kiraan pusingan lap tetap seperti F1, tapi sekarang berlangsung dalam masa yang tetap, macam main bola sepak. Tayar yang digunakan dalam kereta FE adalah seperti tayar kenderaan biasa yang berbunga, manakala F1 adalah tayar trek istimewa yang disesuaikan dengan keadaan trek (kering atau basah).

Oleh itu, jika anda seorang peminat F1 atau perlumbaan kenderaan berbahan api fosil, anda memerlukan perubahan perspektif dalam melihat apa yang penting dalam Formula E. Ia bukan sahaja menilai siapa yang paling laju, tapi juga siapa yang paling cekap menguruskan penggunaan tenaga bateri.

Dan ini membawa kepada kesedaran menjaga alam sekitar. Kenderaan menggunakan bahan api sekarang membebaskan gas² yang mengancam alam sekitar dan manusia sendiri. Manakala kenderaan yang menggunakan tenaga alternatif (alternative energy), tenaga mampan (sustainable energy) ataupun tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) menghasilkan sifar pembebasan gas (zero emission) yang mesra alam.

Kita semua dah merasa sendiri, cuaca panas melampau, hujan dan banjir yang besar, jerebu, ini semua adalah kesan daripada pembebasan gas² kenderaan berenjin bahan api fosil (seperti petrol dan diesel).

Format perlumbaan Formula E

OK, kembali kepada Formula E. Apa yang membuatkan saya tertarik kepada FE, bukan sahaja kenderaan yang digunakan senyap dan mesra alam, tapi juga format perlumbaan yang lain daripada F1 dan lain². Berikut adalah format perlumbaan yang terbaru berdasarkan musim 2018-19:

  • Perlumbaan tidak ditentukan berapa banyak pusingan (lap) yang tetap, tetapi ia dilangsungkan selama 45 minit, kemudian setelah habis masa tersebut, pemandu akan memandu satu pusingan (lap) tambahan. Bateri kereta sepatutnya tahan dalam tempoh tersebut, tapi sekiranya telah habis, bermakna pasukan tersebut gagal dalam menguruskan tenaga bateri dengan baik.
  • Setiap kereta lumba memiliki 250 kilowatt (KW) kuasa, bersamaan lebih kurang 335 kuasa kuda (hp), tapi dihadkan kepada 200KW sahaja.
  • Terdapat mod serangan (attack mode) yang cirinya seakan permainan video, di mana kereta yang telah mengaktifkan mod tersebut, akan mendapat 25KW kuasa ekstra (menjadikan jumlah 225KW). Pemandu mesti memandu melalui kawasan pengaktifan untuk memperoleh kuasa tambahan ini, dan mereka wajib mengaktifkannya 2 kali dalam perlumbaan, dan mod serangan ini akan hidup selama 4 minit sekali aktif. Sepanjang mod serangan diaktifkan, lampu LED di atas halo (rangka keselamatan pemandu) akan menyala berwarna biru.
  • Terdapat juga ciri Fan Boost, di mana peminat² boleh mengundi pemandu kegemaran mereka untuk diberikan kuasa penuh 250KW selama 5 saat, namun hanya 5 pemandu yang mendapat undi terbanyak sahaja yang layak mendapat keistimewaan ini. Ciri ini membolehkan peminat terlibat sama (engaged) dalam perlumbaan ini dan tidak hanya sekadar menonton.

Selain itu, ciri lain yang membuatkan perlumbaan ini yang unik adalah, trek perlumbaan berada di dalam bandar pihak penganjur, menggunakan jalan raya umum. Ini bertujuan untuk membuktikan perlumbaan ini adalah bersih & mesra alam – tidak membebaskan gas karbon dioksida berlebihan (bandar² besar kebanyakannya tercemar oleh gas kenderaan) dan tidak menghasilkan bunyi bising yang mengganggu penduduk bandar.

Apa kaitan Formula E dengan bandaraya Kuching?

Formula E mempromosikan perlumbaan yang bersih dan kurang pencemaran. Bandaraya Kuching pula pernah dinobatkan sebagai bandar terbersih di Malaysia dalam tahun 90an, tapi saya tak berapa ingat bila sebetulnya. Ini adalah positioning terbaik untuk bandaraya Kuching dalam mempromosikan industri pelancongan ke negeri ini.

Selain itu, Sarawak Energy, syarikat tenaga utama negeri Sarawak, telah mengambil inisiatif untuk membangunkan tenaga alternatif (alternative energy) dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) secara mampan (sustainable). Kerjasama antara syarikat ini dengan pembangun kenderaan elektrik adalah kerjasama menang-menang, yang mana memberi manfaat kepada kedua² pihak dan termasuk rakyat yang akan memperoleh kenderaan berteknologi tinggi, mesra alam, mengurangkan pencemaran dan mengekalkan kebersihan bandaraya Kuching.

Sarawak Energy telah pun juga melancarkan stesen bahan api 3 dalam 1 (hidrogen, elektrik dan bahan api fosil) dalam usaha menyokong pembangunan kenderaan mesra alam (green vehicle). Ini menambahkan lagi kerelevenan (relevancy) Sarawak, atau Kuching khususnya, dalam menganjurkan Formula E, pada pendapat saya.

Trek perlumbaan Formula E di Kuching

Credit: Google Maps

Oleh itu, saya rasa tempat yang sesuai untuk diadakan perlumbaan ini, sekiranya Kuching menganjurkannya, ialah di sekitar pusat pentadbiran di Masja. Ini kerana jalan² di sini yang unik, dengan simpang² dan selekoh yang sesuai dijadikan tempat perlumbaan. Tambahan pula penduduk sekitar sering berlumba di kawasan ini.

Jarak trek perlumbaan Formula E adalah dalam lingkungan 2-4km, dan menurut jarak yang saya plotkan disini, 2.8km adalah jarak yang berpatutan. Pentas utama boleh diletakkan berdekatan tempat letak kenderaan bangunan Baitulmakmur, dan kawasan pengaktifan mod serangan (attack mode) mungkin boleh diletakkan di simpang kawasan yang sama.

Di utara kawasan Masja terdapat Masjid Jamek dan Perpustakaan Negeri Sarawak, dan di selatan terdapat Bangunan DUN Sarawak dan Tebingan Kuching, kesemuanya adalah mercu tanda bandaraya ini. Dengan menggunakan drone maka dapat ditunjukkan di dalam TV tempat² menarik ini yang berdekatan dengan trek perlumbaan.

Bila perlumbaan akan dilangsungkan?

Walau bagaimanapun, ini cuma idea saya sahaja 😅. Saya sendiri minat dengan kenderaan elektrik, saya menyokong pembangunan mesra alam dan teknologi hijau, dan saya juga menyokong industri pelancongan di Sarawak, bukan sahaja Kuching, bahkan saya mahu pelancong seluruh dunia sampai ke seluruh Sarawak, melihat tempat² menarik dan berinteraksi dengan masyarakat tempatan yang pelbagai.

Semoga dengan adanya beberapa idea yang dilontarkan di sini, harapnya ada pembaca yang seminda dengan saya (like-minded) yang mahukan pembangunan positif berlaku di negeri ini, kita sama² fokus kepada kemajuan, abaikan cakap² kosong dan negatif orang sekeliling, jalan terus!

Nota: Hujung minggu depan, 13 & 14 Julai adalah finale perlumbaan Formula E untuk musim ini 2018-19 di New York City. Anda boleh tonton secara langsung di Youtube Formula E

Kredit gambar:

Ikuti Instagram dan Facebook saya untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru blog ini.

Tulis komen: