Tonton MyTV dilengkapi intisari rancangan pada smart TV bermula RM4.99 sebulan. Selanjutnya →

Cara pasang pintu rumah

Jumaat, 27 September 2019, 5:30 pm0

Sambungan daripada pemasangan jernang pintu minggu lalu. Saya tak berapa perhatikan jenis kayu pada pintu ini, saya hanya mahukan pintu yang telah siap dan terus muat dipasang.

Apabila pintu ini diangkat, ia agak berat. Rasa macam tak berapa sesuai dengan rumah kayu, lebih sesuai dengan rumah batu yang selalunya ada pintu yang berat. Bapa mertua saya katakan yang pintu ini diperbuat daripada kayu menggeris, antara kayu keras yang sangat padat urat kayunya.

Saiz pintu ini ialah 2’ 9¾” (86cm) lebar dan 6’ 11” (211cm) tinggi. Akan tetapi lebar pintu ini betul² muat pada jernang pintu dan tiada ruang di antara pintu dan jernang. Oleh itu saya memotong 1cm daripada lebar pintu ini supaya ada ruang bagi memudahkan kerja pemasangan.

① – Saya memilih engsel yang ada 4 lubang dan 3 keping dalam satu set untuk menampung berat pintu ini. Terdapat arahan cara pemasangan engsel ini pada bungkusan produk. Jarak engsel pada bahagian atas pintu seingat saya adalah 5” daripada hujung pintu, bahagian bawah pula 10” dan yang tengah pula jaraknya antara engsel atas dan bawah adalah sama jauh / seragam.

② – Pemasangan pintu ini memerlukan 2 orang, dan saya dibantu oleh bapa mertua saya. Sebelum pemasangan, pintu hendaklah ditetapkan kedudukannya pada jernang. Letakkan kayu atau plywood pada bawah pintu untuk melaraskan ketinggian pintu dari lantai. Kemudian tandakan di mana engsel akan dipasang pada jernang.

Pintu dipasang menggunakan skru yang datang bersama dengan set engsel. Saya memasangkan 2 skru pada engsel paling atas dahulu, sambil pintu dipegang oleh bapa mertua saya pada kedudukannya, kemudian diikuti dengan 2 skru pada engsel tengah dan engsel paling bawah. Selepas itu kami cuba buka dan tutup pintu bagi memastikan kedudukan pintu yang betul.

③ – Syukur pemasangan pintu ini tidak banyak masalah, ia dapat dibuka dan tutup dengan baik. Mungkin kerana lebar pintu telah dikurangkan sedikit telah memudahkan kerja ini. Sebenarnya jernang yang telah dipasang agak bengkok, tapi tidak banyak, ada kira² 2-3mm, dan saya juga telah memotong sedikit pada lebar jernang tersebut. Jadi mungkin ini juga yang menyebabkan proses pemasangan yang lancar.

Setelah itu saya habiskan pemasangan semua skru pada engsel. Dapat juga dilihat disini dinding pada bahagian kanan pintu telah pun siap dipasang dan paip konduit juga telah dipasang semula.

④ – Untuk pemasangan tombol pintu pula, ia agak mudah kerana saya telah biasa membuka, memasang dan mengusik² tombol pintu di rumah keluarga kami di Kuching dari sejak kecil 😆. Tapi untuk pintu yang baru, alur untuk bahagian plat besi pada tepi pintu ini terpaksa dibuat sendiri menggunakan pahat. Bagi saya kerja inilah yang agak sukar kerana ia memerlukan ketelitian.

⑤ – Sama juga untuk bahagian di mana besi tombol akan menyangkut pada jernang, bahagian ini kena dipahat sendiri lubang dan alurnya, sebelum dipasang dengan plat besi ini. Saya menggunakan gerudi elektrik untuk membuat lubang pada jernang ini. Dengan menggunakan bit gerudi yang kecil, tebuk sebaris lubang pada segi empat di mana lubang ingin dibuat, kemudian gunakan pahat untuk mengorek lubang tersebut bagi menghasilkan bentuk lubang segi empat yang dikehendaki.

Walaupun kerja² pemasangan pintu ini nampak mudah, tapi hakikatnya saya mengambil masa kira² 3-4 hari untuk menyiapkannya 😅. Seterusnya pintu dan dinding ini akan dicat untuk melindunginya daripada hujan yang menyebabkan kayu cepat rosak.

Ikuti saya di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pengumuman kandungan terbaru berkenaan pembinaan rumah kampung dan juga projek² sampingan saya.

Pin this image:

Tulis komen: