The Grand Old Lady, Miri

148897188_248698873366596_5587599383415364376_n.jpg

Jumaat, 12 Februari 2021, 2:00 pm

The Grand Old Lady, .

Telaga Minyak No. 1 digali pada 10 Ogos 1910. Dua bulan kemudian minyak ditemui di paras dalam 137.8 m (452 kaki). Ia mula mengeluarkan hasil pada 22 Disember 1910. Selepas digerudi lagi, ia mencapai kedalaman 1,096 kaki. Cara menggerudi yang dipakai ialah cara “cable tool” seperti yang digunakan oleh orang Cina seawal 221 T.M. untuk mendapatkan garam dari bawah tanah.

Tugu peringatan petroleum ini adalah satu penghormatan daripada penduduk Miri untuk Telaga Minyak No. 1.

Telaga ini yang dikenali sebagai “Grand Old Lady Of Miri”, adalah sebuah tugu negeri Kerajaan Sarawak.

Ia mula mengeluarkan hasil pada tahun 1901 dan terus berkhidmat selama 62 tahun sehingga ditutup tahun 1972.

Kini ia berdiri megah untuk selamanya menghadap bandaraya Miri yang telah dibantu bina olehnya.

Taman peringatan ini dibentuk pada tahun 1973. Sementara Galeri Pembangunan Semula ini siap dibina pada 2003.

Galeri ini merangkumi Telaga Minyak No 1 dan memaparkan sejarah industri minyak dan gas di Miri dari permulaan yang kecil pada tahun 1880-an sehingga ia menjadi pelopor teknologi petroleum di dunia.

Pada masa itu, semua peralatan dan bekalan perlu dijana oleh tenaga manusia dan diheret ke atas lereng Bukit Kanada yang curam.

Pada mulanya, minyak dipam menggunakan enjin stim yang terletak kira-kira 15.2 m (50 kaki) dari telaga. Pada 1920, penggunaan enjin stim digantikan dengan rumah pam berpusat.

Ketika Perang Dunia Kedua, telaga ini tidak mengalami sebarang kerosakan dan ia beroperasi selama 12 bulan dalam tempoh tiga tahun setengah penjajahan Jepun.

Lewat Abad Ke-19: Penghuni tempatan di kawasan Baram, Sarawak menemui petroleum dan menggali telaga dengan tangan bagi mendapatkan “minyak tanah” untuk dijadikan bahan tampalan lubang perahu dan bahan api.

1882: C.C. de Cresplgny, Resident Daerah Baram pertama kali merekodkan 18 buah telaga yang serupa dijumpai.

1903: Charles Hose, Resident Baram pada tahun 1888 memeta dan merekodkan data titisan minyak.

1909: Rajah Sarawak, Sir Charles Brooke menandatangani Perjanjian Perlombongan Minyak Sarawak yang pertama dengan syarikat Anglo-Saxon Petroleum.

1909: Syarikat minyak yang pertama beroperasi di Miri ialah Anglo-Saxon Petroleum Company daripada kumpulan Shell Royal / Dutch.

1910: Penghasilan pertama Telaga Minyak No. 1 sebanyak 83 tong sehari.

1913: Eksport pertama 500 tan minyak mentah Sarawak.

1914: Loji Penapisan Minyak yang pertama dibina dan pada tahun 1916 ia dipindahkan ke Lutong.

1917: Pemasangan saluran paip dasar laut di Lutong yang juga merupakan terpanjang di dunia pada masa itu.

1921: Sarawak Oilfields Ltd ditubuhkan.

1941: Perang Dunia Kedua – Semua telaga minyak ditutup sebelum serangan tentera Jepun. Jepun berjaya membuka semula beberapa telaga dan memulakan operasi.

1945: Kerja Pemulihan dimulakan selepas perang, termasuk menyelamatkan telaga-telaga dan padang minyak yang terbakar (Jun – Sept).

1946: Pembinaan semula Loji Penapisan Minyak Lutong (Ogos).

1952: Pemberian hak perlombongan minyak yang baru kepada Sarawak Oilfields Limited.

1954: Perjanjian perlombongan diperluaskan ke kawasan luar pantai.

1956: Pencarian minyak yang pertama di kawasan luar pantai di kilometer 30 Barat Daya Miri.

1958: Sarawak Shell Oilfields Ltd (SSOL) dibentuk.

1968: Penghasilan minyak di kawasan luar pantai yang pertama bermulai dari Lapangan Lutong Barat.

1968: Sarawak Shell Berhad (SSB) mengambil alih kegiatan SSOL.

1972: Penutupan Lapangan darat Miri.

1974: PETRONAS, Syarikat minyak negara Malaysia diperbadankan di bawah Akta Pembangunan Petroleum (1974)

1976: Kontrak Perkongsian Hasil Pengeluaran ditandatangani di antara PETRONAS, SSB, dan Syarikat Sabah Shell Petroleum.

Lawat tempat ini secara maya (virtual tour) di album :

Komentar

Tulis komen

Emel anda tidak akan dipaparkan.

Kandungan berkaitan: