Belum daftar pengundi? Ini cara untuk daftar SPR secara online

119036739_176960590540425_8266226620422594611_n.jpg

Khamis, 10 September 2020, 11:40 am

Belum daftar pengundi? Ini cara untuk daftar SPR secara online.

Seramai 4.2 juta orang rakyat Malaysia masih belum berdaftar sebagai pengundi ⁽¹⁾. Dah ramai yang menyeru untuk pergi daftar, tak kurang juga yang menuding jari di atas statistik yang membimbangkan ini. Saya di sini cuma nak tolong tunjuk cara bagaimana nak kurangkan bilangan yang belum berdaftar ini, iaitu dengan mendaftar secara online.

Bagi yang belum tahu, sekarang dah boleh mendaftar sebagai pengundi secara online, di https://mysprdaftar.spr.gov.my/daftar. Mula² daftar akaun dengan MySPR. Isikan saja butiran diri dalam borang tersebut, dan pastikan maklumat sama seperti di dalam kad pengenalan, terutamanya setiap baris alamat rumah.

Pastikan nombor telefon yang anda isi adalah betul dan aktif, kalau tak ada nombor telefon, pastikan alamat e-mel adalah betul dan dapat anda akses, sebab nanti nombor TAC akan di-SMS ke nombor telefon, atau dihantar ke inbox e-mel.

Kemudian, anda perlu mengambil gambar kad pengenalan, dan juga gambar swafoto anda sambil menunjukkan kad pengenalan anda. Pastikan kedua² gambar adalah jelas, tulisan kat IC nampak, boleh dibaca, dan wajah anda terang, sebaiknya menghadap ke arah tingkap atau pintu supaya wajah diterangi cahaya luar.

Selepas mendaftar akaun dengan MySPR, dan mendapat TAC, log masuk ke portal MySPR tersebut, dan isikan borang A. Dalam borang A, isi butiran diri lebih kurang macam borang daftar MySPR, dan anda perlu mendapatkan seorang saksi. Saksi ini kena mengisi maklumat diri termasuk alamat rumah sama seperti dalam kad pengenalannya. Lepas semua butiran dah lengkap, boleh hantar borang dengan mengklik butang ‘Hantar’.

Selepas borang A dihantar, nama anda akan diproses mengikut Peraturan² Pilihan Raya Pendaftaran Pemilih 2002. Pemerakuan nama tertakluk kepada tempoh pewartaan yang mengambil masa 3-5 bulan. Nama anda akan dipamerkan di Rang Daftar Pemilih Tambahan selama 14 hari pada bulan yang telah ditetapkan, berdasarkan suku tahun bila anda mendaftar. Sekiranya tiada bantahan, nama anda akan diperakukan sebagai pemilih yang sah pada bulan berikutnya. Rujuk jadual di bawah:

Suku 1 (1 Januari – 31 Mac)

  • Pameran rang daftar pemilihan tambahan = April
  • Pemerakuan = Mei

Suku 2 (1 April – 30 Jun)

  • Pameran rang daftar pemilihan tambahan = Julai
  • Pemerakuan = Ogos

Suku 3 (1 Julai – 30 September)

  • Pameran rang daftar pemilihan tambahan = Oktober
  • Pemerakuan = November

Suku 4 (1 Oktober – 31 Disember)

  • Pameran rang daftar pemilihan tambahan = Januari
  • Pemerakuan = Februari

🎶 Marilah mari, pergi mengundi. Tunaikan kewajipan, tolak rasuah.

⁽¹⁾ https://www.sinarharian.com.my/article/100343/BERITA/Nasional/42-juta-rakyat-Malaysia-belum-daftar-sebagai-pengundi

Kandungan berkaitan:

Komentar

Tulis komen

Emel anda tidak akan dipaparkan.