Tema trip raya tahun ni: manis, spontan & jem
Ahad, 6 April 2025, 10:30 pm
Banyak #makan manis², singgah kedai² secara spontan & selalu kena #jalan jem .

Selalu belek² air tin besar ni kat Jaya Grocer, kali ni nak cuba merasa, alang² dah jalan jauh, sambil² menyoping.
Nampak label buah tembikai, saya pun berharap rasanya tak jauh dari jus tembikai original yang saya beli kat bazaar ramadan ⁽¹⁾ hari tu.
Tapi rasanya lebih kurang macam rasa jem strawberi, dengan sedikit masam². Bila tengok ramuan, campuran banyak jenis jus seperti buah epal, pear, kiwi, dan pelbagai lagi.
Dan minuman ini mengandungi bahan yang tak boleh ambil banyak, iaitu high fructose corn syrup, pemanis yang kuat rasa manisnya & apabila diambil dalam kuantiti banyak, akan menyebabkan obesiti.
Setin ni pun dah kira banyak gula, saya #minum dalam kira² 1/4 lepas tu isi lagi dengan air kosong, masih lagi rasa manis. Minum air yang terlalu banyak pemanis ni buatkan tekak gatal² dan batuk².

Dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala #Terengganu, saya mencari tempat singgah nak makan tengahari. Kebetulan lalu di kawasan Kemasik, Kerteh ni, terlihat bangunan shopping mall setingkat luas di tengah² kawasan kampung & perumahan.
Ingatkan shopping mall biasa² macam Econsave atau Giant. Bila masuk dalam, ada macam² kedai, restoran & butik, seperti Machines, MyNews, Baskin Robin, Secret Recipe, Pizza Hut, Empire Sushi, Watson, Bonia, Pierre Cardin, F.O.S. Pasaraya utama di sini ialah TMC.
Parking terbuka, free. Tapi saya datang hari mendung nak start hujan, lepas merasa shawarma ayam kat restoran arab tu, terpaksa berhujan bila pergi balik ke kereta.

Dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, plan awal nak singgah lagi gerai² yang ada dekat Pantai Penarik ⁽²⁾. Dalam perjalanan, perut dah start bermuzik ghazal, tak cukup sarapan hanya makan jajan. Terjumpa kedai keropok lekor ni kat tepi jalan, terus berhenti.
Yang bestnya keropok lekor ni ialah teksturnya yang lembut, tak macam yang selalu jumpa di gerai kat shopping mall, pasar malam atau bazaar, banyak yang liat atau keras. Saya merasa dua jenis, satu keropok lekor yang direbus, satu lagi digoreng. Yang digoreng tu lapisan luarnya rangup & dalamnya lembut, senang dikunyah.
Sos pencicah yang dibagi pun sedang² pedas & manis. Makan keropok lekor panas² dalam kereta, dengan cuaca hujan renyai² kat luar, phone diletak kat cermin windscreen untuk tunjuk map, dari luar orang tengok nampak macam buat live mukbang .

Semasa menginap di Pantai Cahaya Bulan, cuaca pun kehujanan sepanjang hari, tak sempat nak jalan² kat tepi pantai. Plan nak pergi ke Pasar Siti Khatijah, tapi lewat bangun, dah tengahari hari Jumaat, kedai² semua tutup. Sementara menunggu kedai buka balik, pergi merayau ke Pengkalan Kubor nak tengok kampung Thailand di seberang sungai.
Sekitar Kampung Geting, terjumpa gerai ni yang masih buka selepas solat Jumaat, mereka ada jual gulai daging itik serati. Seperti yang ramai maklum, makanan kat #Kelantan manis² belaka, gulai ni pun tidak terkecuali.
Tapi saya rasakan yang manisnya padan dengan rempah² lain yang ada dalam gulai, dan tidak menutup rasa bahkan ia menghilangkan bau hanyir daging serati. Cuma, bagi saya, mungkin tak dapat nak selalu makan yang manis begini, sebab mungkin akan rasa muak .

Sekarang cerita pasal jem. Semalam, balik dari Pantai Cahaya Bulan ke Puchong, start gerak pukul 9 pagi. Plan asal ikut arahan Google Map, guna jalan Gua Musang.
Belum sempat keluar dari Kelantan, dah banyak jalan jem, trafik tak bergerak berbelas minit. Saya sampai kat Machang pun dah pukul 12 tengahari. Dari Machang, ada beberapa pilihan laluan:
- Guna lebuhraya Timur-Barat. Laluan paling jauh, ke Jeli, Gerik, Lenggong, pastu Kuala Kangsar, kemudian sambung guna PLUS.
- Guna laluan Gua Musang, paling pendek tapi kat Google Map dah nampak sesak sampai berpuluh kilometer. Kalau diikutkan pengalaman saya sebelum ni, kualiti jalan kat sana kurang memuaskan, jadi saya pilih laluan seterusnya.
- Guna LPT2, ke Kuala Terengganu untuk masuk ke highway. Kat highway dapat guna cruise control, relaks sikit nak drive
.
Tapi di laluan ini pun sama jem, di Kerteh contohnya, nak lalu bandar tu saja dah ambil 2 jam, lepas tu kat Permaisuri, dan beberapa lokasi di sepanjang jalan nak ke highway, trafik bergerak sangat perlahan, nak cover 1 km pun ambil lebih 10-20 minit.
Bila dah masuk LPT2, berhenti kat R&R pertama yang ditemui, jam dah pukul 6 petang. Singgah makan, ada satu gerai ni hidang ikan baung masak lemak, tapi isi ikan dah habis, hanya tinggal kuah saja. Saya hanya ambil kuahnya dengan ikan tilapia goreng & telur goreng, jadilah untuk merasa .
Sambung jalan dalam pukul 7, berhenti di beberapa R&R untuk ke tandas, beli kopi & roti untuk refreshments. Jam 11 malam, R&R Lancang, tempat stop terakhir untuk isi minyak penuh sebab dah nampak dalam map, akan ada jem panjang sebelum sampai kat tol Gombak.
Masa menghadap jem, saya dapati trafik dari seluruh pantai timur bertumpu ke satu laluan ini, highway KL-Karak. Kami yang guna laluan LPT2, bertembung dengan trafik yang guna jalan Gua Musang, masuk dari exit ke Mempaga.
Sepanjang kira² 20 ke 30 km itulah semua kenderaan mengengsot guna gear 1 naik jalan berbukit.
Selepas kesemua trafik dah bergabung, hanya bila dah berdekatan Genting Sempah, barulah keadaan trafik dapat bergerak dengan lebih laju. Sepanjang berbaris dalam jem, saya dah nak tertidur² tapi tetap tahan² mata.
Jam 3 pagi, sebelum masuk Terowong Karak, trafik dah mula lancar. Beramai² touge turun bukit. Mata yang kuyu lalu segar balik .
Kat Tol Gombak masih banyak kenderaan, tapi bila dah limpas, masuk KL, trafik dah berpecah ke haluan masing², barulah rasa bebas sikit. Tak ada kereta lain waktu awal pagi, jadi dapatlah drive macam bos² di sekitar KL, PJ hinggalah ke Puchong.
Sampai rumah jam 4 pagi .
Kesimpulannya, pergilah bercuti waktu orang lain tengah bekerja .
⁽¹⁾ https://azwan082.my/2025/03/sambil-cari-bazaar-sambil-cari-rumah/
⁽²⁾ https://azwan082.my/2023/05/berpeknik-dengan-kambing/
Review Hotel Skytree di Kuantan, Pahang
11 April 2025